KIM Pan-gon hanya memiliki pencapaian sederhana dengan Hong Kong namun pernah seri 1-1 dan menewaskan Malaysia 2-0 yang dibimbing Nelo Vingada pada 2017.

SEBUAH pasukan Harimau Malaya yang berwajah baharu dengan ‘air tangan’ Kim Pan-gon dijangka berentak pantas, berkekuatan, menggemari gerakan sayap, overlapping (asakan bertindan) dan corak bermain yang padat.

Pakej pembentukan skuad negara ini menurut B. Sathianathan, merupakan amalan tradisi mahupun falsafah bola sepak jurulatih-jurulatih Korea Selatan yang kerap disaksikan pada pasukan kebangsaan atau kelab-kelab mereka.

“Jurulatih Korea ini cukup pantang kalau ada pemain pasukannya yang malas mengejar bola. Corak bermain padat ini juga bermaksud, naik menyerang dan turun bertahan mestilah secara bersama.

“Mereka juga jenis yang tidak suka mana-mana pemain pegang bola terlalu lama. Kalau hendak guna kemahiran individu pun mesti kena tengok tempat, masa dan keadaan.

“Satu lagi, jurulatih Korea akan mengutamakan pemakanan berkhasiat (nutrisi) buat pemain-pemainnya,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) ini kepada BebasNews, hari ini.

Sathianathan, 63, juga merupakan bekas ketua jurulatih negara dari 2007 hingga 2009 selain pernah menjadi penolong dua jurulatih asing, Hatem Souissi dari Tunisia (skuad Olimpik 2000) dan Allan John Harris (England).

Jurulatih skuad juara Pestabola Merdeka 2007 ini mengulas kehadiran Pan-gon, 52, yang juga bekas ketua jurulatih Hong Kong dari 2009 hingga 2010 dan 2012 hingga 2017 selain kelab Busan IPark FC (2005-2008), South China FC (2008-2010) dan Gyeongnam FC (2011).

Warga Korea Selatan itu menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengetepikan calon-calon anak tempatan, dari Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Selatan.

PARK Hang-seo, juga warga Korea Selatan (tiga dari kiri) membantu Vietnam muncul juara Piala AFF 2018, mara ke suku akhir Piala Asia 2019 dan masih memburu tiket pusingan akhir Piala Dunia 2022. Berbaju putih ialah Tan Cheng Hoe. – Foto FAM

Namun pencapaian terbaiknya dengan Hong Kong hanyalah memenangi pingat emas Sukan Asia Timur 2009 dan layak ke pusingan akhir Kejohanan Asia Timur 2010.

Rekodnya itu sekadar setaraf Datuk K. Rajagobal membantu skuad Bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Harimau Malaya menjulang Piala AFF 2010.

Kata Sathianathan, kehadiran Pan-gon bakal mencetuskan harapan tinggi pelbagai pihak terutama penyokong fanatik Harimau Malaya mahupun warganet yang kerap menghentam FAM ketika skuad negara dibimbing Tan Cheng Hoe mahupun Nelo Vingada.

“Ketika Vingada (warga Portugal) di sini, pasukan negara tidak menang langsung tujuh perlawanan (dari Mei hingga Disember 2017). Jadi kena berikan jurulatih import ini masa dengan tempoh kontrak dua tahun oleh FAM itu.

“Lainlah kalau Pan-gon ini ada silap mata, main pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2023, Jun nanti, pasukan kita terus berjaya layak,” sinis bekas perantara kebangsaan, pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura 1983 ini.

Harimau Malaya dijangka bermain dua perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dibuka dari 21 hingga 29 Mac ini.

Siri perlawanan itu mampu menjadi sebahagian persediaan skuad negara dalam misi merebut tiket pusingan akhir Piala Asia di China pada 8, 11 dan 14 Jun. Kali terakhir Malaysia mara menerusi kelayakan (merit) ialah 1980 di Kuwait.

Sathianathan turut mencipta satu analogi atau ibaratnya, “tidak mungkin juga dalam sekelip mata dia boleh tukar budaya pemain-pemain Malaysia yang sudah biasa dengan sambal belacan kepada kimchi?

“Masalahnya juga ramai warganet di Malaysia yang ‘pandai’ tentang bola sepak sekarang. Tidak sabar langsung. Macam mereka ingat, kalau pasukan kalah dalam beberapa perlawanan, boleh terus buang jurulatih itu.

“FAM sudah ikat Pan-gon dua tahun (dua tahun lanjutan bergantung prestasi). Hendak buangnya selepas itu akan libatkan kerugian kewangan yang besar,” katanya.

B. Sathianathan (kiri) dan Hamidin Mohd. Amin. – Foto FAM

Pan-gon menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin semalam, akan turut membawa barisan kejurulatihan pilihannya iaitu penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis.

Namun kata Sathianathan, seorang jurulatih tempatan sebagai penolongnya masih perlu diselitkan dalam barisan berkenaan kerana tidak mungkin jurulatih Korea itu benar-benar memahami latar belakang, budaya, pengalaman dan corak permainan pemain-pemain tempatan tertentu.

“Takkan pula kita hendak biarkan dia bawa lebih ramai pemain naturalisasi dari Korea Selatan ke dalam Harimau Malaya?

“Kita perlukan seorang penolong jurulatih tempatan yang bukan sebagai pak turut semata-mata tetapi berani menyuarakan kebenaran, faham dan membantu mengenal pasti pemain-pemain daripada Liga Malaysia,” katanya.

SENARAI JURULATIH IMPORT LALU PASUKAN MALAYSIA

1958-1963: Choo Seng Quee (Singapura)
1965-1966: Otto Westphal (Jerman Barat)
1967: Dettmar Cramer (Jerman Barat)
1968: Harold Hassall (England)
1970-1971: Dave McLaren (Scotland)
1977, 1980-1981: Karl-Heinz Weigang (Jerman Barat)
1983-1985: Frank Lord (England)
1986-1987: Josef Venglos (Czechoslovakia)
1988: Richard Bates (England)
1989-1990: Trevor Hartley (England)
1992-1993: Ken Worden (England)
1994-1995: Claude Le Roy (Perancis)
2001-2004: Allan John Harris (England)
2004-2005: Bertalan Bicskei (Hungary)
2017-2017: Nelo Vingada (Portugal)
2022: Kim Pan-gon (Korea Selatan) – BebasNews

Leave a Reply