Hasni Mohammad

NAMA Hasni Mohammad tiba-tiba menjadi popular sejak beberapa minggu lalu.

Semuanya gara-gara khabar angin yang mengatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan untuk memberi laluan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Khabar angin itu mula bertiup kencang ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu yang menyebabkan majoriti kerusi kerajaan negeri diterajui UMNO hanya memiliki kelebihan satu kerusi, iaitu 28 berbanding 27 yang dimiliki pakatan pembangkang.

Sejak itu, kelibat Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor sentiasa ‘diburu’ oleh banyak pihak yang ingin mendapatkan kepastian, terutamanya pemimpin politik dan wakil media.

Petang ini, Hasni sekali lagi akan menjadi tumpuan wakil media apabila ‘cakap-cakap politik’ mengatakan ADUN Benut itu akan mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan semua 26 ketua UMNO bahagian.

Namun, hingga kini tiada jemputan media diberikan daripada Badan Perhubungan UMNO negeri mengenai perkara itu.

Sumber memaklumkan, mesyuarat itu akan membincangkan pelbagai perkara termasuk persediaan UMNO negeri sekiranya PRN diadakan.

Walau bagaimanapun, Hasni dijangka tidak akan mengumumkan tarikh pembubaran DUN Johor pada hari ini.

Beliau mungkin memerlukan ‘sedikit masa lagi’ untuk menilai tahap sokongan dan respons rakyat sekiranya ingin mengadakan PRN Johor.

Walaupun ramai pemerhati yang menyatakan Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan lebih besar dan menubuhkan kerajaan tanpa mengharapkan sokongan daripada parti lain, namun perkara tersebut memerlukan penelitian dan percaturan yang tepat.

Malah, keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BN meraih kemenangan besar tidak boleh dijadikan ukuran sebenar sokongan kepada BN Johor sekiranya PRN diadakan dalam masa terdekat.

Persoalannya sekarang adalah bila tarikh pembubaran DUN Johor?

Kata pemutus ada di tangan Hasni dan beliau akan terus menjadi ‘buruan’ sama ada akan menekan butang itu atau membiarkan khabar angin tentang PRN Johor berlalu begitu sahaja. – BebasNews

Leave a Reply