MUTAAKHIR ini manusia menghadapi pelbagai musibah seperti bencana Covid-19, banjir, gempa bumi dan ketampilan hal-hal yang di luar jangkaan manusia hingga menyebabkan manusia mula bertanya gejala apakah ini menyebabkan manusia dalam kebimbangan dan kepayahan menjalani kehidupan.

Setengahnya beranggapan ia musibah alam kerana pertukaran cuaca dan musim dan setengahnya pula beranggapan ia pertanda akhir zaman di mana manusia mendepani pelbagai karenah hidup yang merisaukan.

Tidak ramai di kalangan manusia membuat kesimpulan ia musibah dari Pencipta untuk memberi peringatan kepada manusia tentang kelalaian dan kelupaan mematuhi perintah dan syariat Allah.

Allah SWT melimpahkan rahmah dan ni’mah kepada manusia dengan mencipta alam dan kehidupan supaya hikmah kejadian difahami dan menjadikan manusia syukur denganNya dengan kepatuhan kepada pedoman dan pertunjuk dariNya supaya limpahan rahmah dan hikmah itu difahami. Keengganan manusia memahami hakikat ini menyebabkan jiwa kehambaan hilang dan dan rasa syukur terhakis hingga datangnya musibah demi musibah untuk memberi peringatan kepada manusia.

Tanpa ilmu dan sumber yang benar dan bermanfaat dari Pencipta menyebabkan hikmah itu hilang dan manusia bergantung kepada pemikiran yang terbatas dan berpedomankan hawa nafsu dengan keluhan dan ratapan yang berpanjangan. Ia tidak memberi jawapan sebenar terhadap kemelut yang dihadapi.

Islam adalah agama yang memberi pertunjuk dan pedoman. Dalam Surah al Qasas Nabi-nabi terdahulu menghadapi pelbagai ujian apabila keingkaran terjadi. Memang kelaziman manusia menghadapi penyakit lupa dan lalai menyebabkan amanah Allah dipandang sepi dan tuntutan syariat tidak dipenuhi.

Ia menyebabkan pelbagai karenah yang keji berlaku, perbuatan yang menyalahi syariat terjadi, kehidupan yang fitrah tidak mengambil tempat dan akhirnya kerosakan akhlak terjadi, kecairan manusiawi berlaku dan gelagat haiwani mengambil tempat.

Lalu datang lagi peringatan Allah seperti yang yang pernah berlaku kepada Nabi Nuh dan Nabi Lut dengan kaumnya yang pupus akhlak diri dan melakukan perbuatan keji secara terang-terangan.

Allah turunkan musibah kepada mereka dan menyelamatkan Nabi Nuh dan Nabi Lut dari malapetaka yang berlaku.

Inilah hakikat pedoman dan peringatan yang perlu diinsafi oleh manusia kerana kisah ini akan berulang di sepanjang zaman kehidupan manusia sehingga kini. Perhatikan bagaimana penolakan keyakinan beragama terjadi, manusia ragu-ragu tentang kehadhiran Pencipta, mereka mengamalkan faham atheis dan menjadi agnostik dan berlakulah amalan dan perbuatan yang bercanggah dengan fitrah insan.

Apalagi di tengah-tengah kegilaan aplikasi teknologi dalam pelbagai bentuk manusia terus berlagak perbuatan yang melanggar syariat seperti yang dipertontonkah dalam media cetak dan penyiaran letronik hingga menyebabkan iklan-iklan yang jelik ditayangkan, filem-filem yang menayangkan drama-drama yang tidak menjadi contoh teladan dijadikan sumber tontonan dan menyebabkan kata-kata keji dan caci maki dilemparkan dalam whatsapp, twitter, youtube terjadi tanpa ada rasa malu dan bersalah dan membudaya dalam kehidupan seharian pengguna dan penonton.

Bila musibah datang dan menimpa manusia tidak ramai yang bertanya tentang hubungkaitannya dengan peringatan Allah supaya manusia insaf dan sedar dan terlalu banyak fasad dan mungkar yang terjadi dikalangan manusia.

Suatu ketika dulu berlaku tragedi tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia beberapa tahun lalu yang patut dijadikan iktibar apabila pusat-pusat pelacuran dan kemaksiatan diranapkan meninggalkan pusat pengajian dan ibadah terselamat tanpa sentuhan tsunami dan amat jelas memberi peringatan kepada kemurkaan Allah terhadap perbuatan keji dan pemeliharaan Allah kepada tempat tempat ibadah dan pengajian.

Bagi yang insaf ia boleh menyebabkan manusia kembali ke jalan hidup beragama, mematuhi titah perintah Allah dan menyumbang ke arah pedoman dan pertunjuk supaya manusia patuh, taat, akur dan tunduk kepada syariat yang menjadi prasyarat kehidupan yang diredhaiNya.

Musibah yang datang tidak hanya memberi tumpuan kepada negara kita saja tetapi berlaku seluruh dunia. Wabak Covic-19 umpamanya berlaku di seluruh dunia.

Virus demi virus datang yang menyebabkan kebimbangan terjadi kerana virus ini boleh membunuh.

Ia menyebabkan manusia berhati-hati dalam pergaulan dan perhubungan sosial kerana jenis wabak ini boleh merebak dan menjangkiti dan boleh memberi kesan buruk kepada manusia.

Kawalan diri dengan pematuhan kepada SOP mula diwajibkan dan ianya mendatangkan kepayahan kepada manusia yang menuntut kebebasan dalam hidup terjadi.

Namun begitu banyak peristiwa di negara Barat orang menentang peraturan Covid-19 dan menyebabkan terlalu ramai yang kena musibah itu.

Negara yang mendakwa mempunyai disiplin kehidupan yang tinggi tidak akur dengan pengawalan musibah ini malah jauh sekali menganggap ia adalah salah laku kehidupan akibat melupakan kepentingan agama yang mengatur jalan hidup yang lebih bermakna.

Ia juga berlaku di kalangan umat di negara Islam akibat ketidakptuhan kepada pedoman dan tuntutan syariat seolah-olah yakin dengan kemampuan teknologi boleh mengatasi segala-gala.

Sedangkan dari sisi ajaran Islam ianya adalah peringatan Allah kepada umat manusia supaya kembali kepada hidup yang fitrah dan patuh kepada titah perintahNya.

Inilah antara faktor yang menyebabkan musibah terjadi akibat perbuatan tangan-tangan manusia yang engkar kepada syariat dan merasa selesa hidup tanpa agama yang memberi pedoman dan pertunjuk.

Mengabaikan pedoman dan pertunjuk Allah dan menyebabkan manusia melakukan kefasadan dan kemungkaran.

Ia berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang terlibat dalam maksiat dan pelacuran. Ada yang bergelumang dengan amalan rasuah dan tipudaya. Ramai yang mempunyai faham kebendaan yang melampau dengan memiliki sifat ego dan sombong dan menghasilkan watak berbangga diri dan tidak merasa syukur dengan rahmat dan nikmat Allah.

BebasNews

Leave a Reply