Sharif, Danial Zaini dan Syaiful, anggota kumpulan Tiro bakal muncul dengan lagu baharu tidak lama lagi.

JUARA program Maharaja Lawak Mega 2021, kumpulan Tiro yang dianggotai oleh Sharif, Syaiful dan Danial Zaini, berhasrat untuk mempunyai program sitkom sendiri.

Berazam ingin meneruskan legasi kumpulan pelawak terkenal Senario, Tiro kini sedang berusaha dan merancang untuk memulakan sitkom seumpama itu untuk menghiburkan peminat-peminat menerusi lawak jenaka mereka.

“Kami memang ada beberapa perancangan terutamanya untuk mempunyai sitkom sendiri bagi menghiburkan peminat lawak di negara ini.

“Kita pernah mempunyai beberapa sitkom yang sangat menarik sebelum ini dan kami sepakat untuk menghidupkan kembali rancangan seperti itu,” kata Sharif.

Dalam pada itu, Sharif berkata sitkom tersebut juga tidak terhad kepada kemunculan mereka sahaja, sebaliknya Tiro akan mengundang rakan-rakan pelawak yang lain untuk pembabitan bersama.

Danial turut menyatakan persetujuannya dan gembira kerana Tiro terus mendapat sokongan peminat walaupun sebelum ini Sharif dan Syaiful dikenali sebagai anggota kumpulan Zero.

Tiro mahu menghibur orang ramai dengan idea baharu menerusi sitkom sendiri.

Kata Danial, menerusi sitkom lebih banyak idea dan karya Tiro dapat dikongsi bersama dan sekali gus menjadi hiburan sekeluarga.

Tambahnya, Tiro bukan sekadar menyasarkan untuk mempunyai siktom sendiri, malah ada juga perancangan untuk rakam lagu.

“Idea rakam lagu ini tercetus bila kami buat muzikal komedi, jadi kami juga teringat momen lagu-lagu etnik yang pernah dirakam oleh senior kami seperti Senario.

“Jadi kami rancang untuk merakamkan lagu dengan konsep sama dengan elemen joget untuk peminat kami. Kalau Tiro nak nyanyi lagu balada, macam tak kena. Sebab itulah kami kena nyanyi lagu rancak sikit,” katanya.

Kemungkinan Tiro akan menampilkan seorang penyanyi untuk berkolaborasi dengan mereka dalam lagu tersebut.

Meskipun sekarang ini Sharif dan Syaiful atau Melati menganggotai kumpulan Tiro bersama Danial, namun dua beradik itu tidak pernah melupakan kumpulan asal mereka iaitu Zero yang turut dianggotai oleh Atu.

“Zero masih ada dan tetap akan bersama. Zero dan Tiro akan berjalan seiring. Sebab masing-masing ada kekuatan.

“Dalam Tiro kami memang mahu Danial memainkan peranan utama dengan gandingan saya dan Melati serta kami memilih lawak meniru gaya dan suara,” katanya.

Bagi Danial pula, tidak ada isu ganti sesiapa tetapi masing-masing ada cara dan pendekatan tersendiri. Malah katanya, tidak mustahil untuk Tiro dan Zero bergandingan dalam satu persembahan.

Terdahulu, Tiro meraikan lebih 20 peminat kumpulan itu dalam satu majlis kesyukuran di Restoran Empangan Udang Galah di Putrajaya, baru-baru ini.

Pada majlis itu, hadirin diraikan dengan pelbagai juadah serta aktiviti cabutan bertuah serta bergambar. –
BebasNews.

Leave a Reply