PENIAGA makanan dibenar untuk menaikkan harga jualan asalkan tiada unsur mencatut (mencari keuntungan berlebihan atau terlalu tinggi). Ini kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

Alasan beliau, harga barangan mentah makin meningkat sehingga menimbulkan kerisauan dan keluh kesah kepada penjual. Kerana itu barangan makanan jualan mereka terpaksa dinaikkan bagi mengimbangi kenaikan harga bahan mentah.

Ini merupakan satu kenyataan ‘blanket’ yang merisaukan daripada seorang timbalan menteri yang menjaga hal ehwal perdagangan dalam negeri dan pengguna. Kenyataan yang dilihat lebih melindungi peniaga tetapi tidak pengguna.

Kenyatan ini seolah-oleh memberi lampu hijau kepada peniaga menaikkan harga jualan menurut budi bicara sendiri. Ia seperti membuka ‘flood gate’ yang akan menyebabkan kesan rantaian berterusan di mana peniaga berebut menaikkan harga jualan.

Walau pun kebenaran ini disertakan syarat bukan dengan tujuan mengaut keuntungan terlalu tinggi, apakah penanda aras tidak terlalu tinggi itu? Adakah pihak berkuasa akan menetapkan kadar keuntungan dibenarkan, atau mampukah ia mengawasi harga sepanjang masa?

Menurut Rosol, peniaga memang mahu untung dan kerana itu dibolehkan menaikkan harga. Peniaga akan lebih suka dan bertumpu kepada frasa ini tanpa peduli dengan mencatut. Suka hati merekalah menaikkan harga dan pengguna terpaksa menerima.

Benar pengguna boleh memilih untuk tidak membeli jika jualan terlalu mahal. Tetapi jika semuanya menjual mahal sedangkan keperluan untuk makanan tidak dapat dielak, apakah pilihan lain yang terbuka kepada pengguna? Mahu tidak mahu kena membeli juga.

Sepatutnya apa yang wajar disebut oleh Rosol ialah kerajaan akan mengawal kenaikan harga barangan mentah dan mengingatkan peniaga agar tidak menjual pada harga berlebihan. Bukan memberi mereka lesen besar menaikkan harga.
Ini sejajar dengan peranan kementerian menjaga hal ehwal pengguna. Salah satu tanggung jawab utama tentunya melindungi mereka daripada kesan kenaikan harga barangan yang pada peringkat akhir akan membebankan mereka.

Bukan bermakna peniaga tidak harus dibela atau dibiarkan rugi. Sememangnya wajar wujud suasana di mana peniaga perlu beretika dan pengguna tidak teraniaya. Namun mencari kelompok peniaga yang benar-benar beretika memang sukar. Jika diberi peluang, mereka sentiasa mahu untung berlebihan, apa lagi jika sudah ada lampu hijau kerajaan.

Kerana itu yang penting ialah mencari punca masalah atau ‘root problem’ dan mengatasinya. Dalam hal ini sudah pun diketahui puncanya ialah harga barang mentah naik tinggi. Justeru mesti dicari jalan mengatasi kenaikannya.

Situasi ini berlaku berteras kepada kaedah hukum mudah ekonomi iaitu permintaan melebihi bekalan. Ini berlaku kemungkinan kerana bekalan tempatan tidak dapat menampung keperluan. Kerana bekalan terhad, harga jualan dengan sendiri meningkat.

Kerajaan wajar mengambil tindakan segera mengatasinya, misalnya melalui import, bagi menstabilkan harga. Import ini boleh bersifat sementara sehingga bekalan mencukupi, atau diteruskan jika ia difikirkan cara terbaik menurunkan harga barang mentah di pasaran. Natijahnya, jualan makanan kepada pengguna juga dapat diseimbang tanpa terlalu membebankan mereka.

Dahulu pernah berlaku negara kekurangan bekalan kelapa walau pun pada satu ketika Malaysia adalah antara pengeluar utama kelapa di dunia. Apabila banyak ladang kelapa ditebang dan diganti dengan kelapa sawit, bekalan kelapa berkurangan. Sebagai langkah mengatasinya, Malaysia mengimport kelapa dari Indonesia.

Kini, kenaikan harga ayam juga menjadi isu. Keadaan dijangka lebih serius apabila Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang bermula 7 Disember tahun lalu tamat pada 4 Februari depan.

Sebagai lengkah persediaan, KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meluluskan lebih 20 Permit Kelulusan (AP) import ayam bagi mengimbangkan harga dalam pasaran.
Sememangnya ini tidakan segera yang tepat bagi mengatasi keadaan. Ia tidak harus terhad kepada ayam tetapi pelbagai keperluan barangan lain. Asal sahaja bekalan kurang dan harga dijangka naik, perlu bertindak pantas.

Ini bukan sahaja memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi tetapi harga jualan dapat dikawal. Seterusnya ia akan menghalang para peniaga tidak bertanggung jawab menaikkan harga sesuka hati untuk beroleh untung banyak sedangkan pengguna menerima padah. – BebasNews

Leave a Reply