INDONESIA dijangka muncul sebagai kuasa ekonomi baharu keempat terbesar di dunia selepas China, India dan Amerika Syarikat menjelang tahun 2030, sekali gus usaha membina Nusantara sebagai ibu kota baharu dianggap berbaloi.

Kos pembinaan Nusantara di kawasan Penajam Paser Utara dan sebahagian kawasan Kutai Kertanegara, dianggarkan sebanyak AS$33 bilion.

Kewujudan Nusantara bermakna selepas ini pejabat-pejabat kerajaan akan dipindahkan ke wilayah Kalimantan Timur dari Jakarta, di pulau Jawa.

Tanggungjawab untuk menjadikan Nusantara sebagai pusat pentadbiran baharu negara jiran Malaysia, Singapura dan Brunei tersebut dipikul oleh arkitek, Sibarani Sofian.

Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan pertama kali rancangan memindahkan ibu negara Indonesia pada tahun 2019 tetapi tertangguh kerana wabak Covid-19 dan projek itu akan diteruskan pada tahun 2024.

Kerajaan Indonesia berharap dengan wujudnya Nusantara ia akan mengurangkan beban Jakarta, sebuah bandar berpenduduk 10 juta, yang terkenal sesak, mengalami banjir yang kerap, dan merupakan salah satu bandar paling cepat tenggelam di dunia akibat pengambilan air bawah tanah yang berlebihan.

Sebahagian daripada daratan Jakarta utara tenggelam pada anggaran 25 sentimeter setahun. – BebasNews

Leave a Reply