KIM Pan-gon (tengah) berjaya membawa Hong Kong meraih pingat emas Sukan Asia Timur 2009 dan layak ke pusingan akhir Kejohanan Asia Timur 2010.

KEHADIRAN Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya bakal menuntut cara fikir para pemain yang berbeza, mengikis budaya manja dan kerap menagih kompromi serta lebih berdisiplin.

Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini kerap ‘ditemberang’ kebanyakan jurulatih Mat Salih yang mahu menyandang jawatan itu, warga Korea Selatan ini dianggap mampu membawa kelainan dalam gaya kerja dan layanannya kepada pasukan.

“Satu usaha yang bagus oleh FAM apabila mencuba ‘Dasar Pandang Ke Timur’ pula. Kalau dengan jurulatih tempatan, akan ada kecenderungan pemain berkompromi tidak boleh datang latihanlah, sakitlah dan sebagainya sebab mereka selalu dalam zon selesa.

“Ini sudah jadi trend sekarang (pengambilan jurulatih Korea Selatan dan Jepun). Vietnam dan Indonesia serta Singapura sudah menyerlah dengan khidmat mereka dalam Piala AFF (di Singapura), baru-baru ini.

“Sebelum ini FAM hanya pandang jurulatih Eropah padahal (jurulatih) Mat Salih ini pandai cakap sahaja atau retorik (ulangan lapuk) dan habis ditemberangnya FAM sebab hendakkan jawatan itu.

“Jurulatih Korea akan bawa pendekatan yang lebih berdisiplin dan kehendak mereka lebih mencabar dan tinggi,” kata Abd. Rahim Abdullah, anggota skuad negara pada Sukan Olimpik Munich 1972, kepada BebasNews, hari ini.

ABD. Rahim Abdullah

Anak jati Nibong Tebal, Pulau Pinang yang juga bekas pegawai polis ini turut pernah menjadi ketua jurulatih negara pada 1991, menghadapi England dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan Sukan SEA Manila.

Bekas sayap kanan Pulau Pinang dan Selangor ini turut menggesa semua pemegang taruh bola sepak termasuk rakan seangkatan eranya agar tidak lagi terbuai dengan kegemilangan silam pasukan kebangsaan.

“Korea, Jepun sudah jauh ke hadapan dan banyak kali layak ke Piala Dunia sedangkan kita masih di takuk lama. Tidak perlu terus ego atau terasa jatuh nilai yang kita dalam era 70-an dan 80-an boleh kalahkan mereka tetapi sekarang mahu berguru dengan jurulatih lawan pula.

“Tidak boleh selama-lamanya kita hendak hidup dengan kejayaan silam. Kajilah diri kita kenapa kita sekarang jadi begini (masih berlegar di Asia Tenggara sahaja),” kata Rahim, 75, yang beraksi menentang Jerman Barat di Munich.

“Kita cubalah dulu (Pan-gon). Tengok macam mana tetapi FAM tidak boleh lepas tangan sahaja, kena pantau juga perkembangannya dan pasukan negara. Ada peningkatan tak apabila dia mula dengan sifar?

“Mengharapkan hasil yang segera daripadanya tentulah tidak adil. Dua atau tiga tahun ialah tempoh yang sesuai baginya mencapai keputusan tertentu.

“Malaysia ini bukan tiada langsung pemain-pemain yang berkaliber dan sudah tiba masanya kita perlukan suntikan tertentu daripada jurulatih Korea ini,” katanya.

ABD. Rahim Abdullah (depan, dua dari kiri) dalam skuad Sukan Olimpik Munich 1972. Mohamad Bakar (depan, dua dari kanan), Jalil Che Din (belakang, kiri) dan M. Chandran (belakang, enam dari kanan) turut pernah bergelar ketua jurulatih negara.

Skuad negara bimbingan Dave McLaren dari Scotland yang turut dianggotai Rahim, mengejutkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1968, Jepun 3-0 dan Korea Selatan 1-0 dalam Kelayakan Olimpik Kumpulan 1 Asia di Seoul pada 23 dan 25 September 1971.

SENARAI JURULATIH LALU MALAYSIA ANAK TEMPATAN

Neoh Boon Hean
Peter Velappan
N. Raju
Edwin Dutton
Abdul Ghani Minhat
C. Arasaratnam
Jalil Che Din
M. Chandran
M. Kuppan
Chow Kwai Lam
Mohamad Bakar
Abdul Rahman Ibrahim
Ahmad Shafie
Abd. Rahim Abdullah
Wan Jamak Wan Hassan
Norizan Bakar
B. Sathianathan
K. Rajagobal
Dollah Salleh
Ong Kim Swee
Tan Cheng Hoe
BebasNews

Leave a Reply