SEMRET SINGH DHALIWAL

KUALA LUMPUR – Pemenang dua pingat emas temasya Sukan SEA, Semret Singh Dhaliwal tidak berpuas hati dengan prestasi keseluruhan sukan olahraga Malaysia.

Lantas pembaling tukul besi digeruni di rantau Asia Tenggara  dalam tahun 1980-an itu bercadang mewujudkan sebuah akademi olahraga peringkat kebangsaan bagi membantu tugasan sukar yang sedang dihadapi Kesatuan Olahraga Malaysia.

”Saya bersama beberapa lagi bekas atlet kebangsaan sanggup membantu dalam pembangunan atlet dan yakin pengalaman kami dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Pemenang emas Sukan SEA tahun 1985 dan 1989 itu berkata, sebuah akademi yang bakal dilahirkan akan membantu sukan olahraga dari peringkat sekolah hinggalah ke tahap lebih tinggi.

”Kami akan mengharungi apa jua ranjau bagi menubuhkan sebuah institusi bagi membantu mereka menyinar untuk negara kelak.”

Semret, 67, berharap pegawai-pegawai olahraga baik dari peringkat nasional dan negeri tidak merasakan penubuhan akademi ini untuk mencabar kepemimpinan mereka malah ia sebagai suatu cabaran bagi menonjolkan ramai atlet berwibawa.

”Saya juga akan bertemu Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri)  Ahmad Faizal Azumu bagi mendapatkan sokongan beliau.”

BebasNews

Leave a Reply