
SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghargai usaha keras Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) bekerjasama dengan pihak Industri, Komuniti dan Rangkaian Alumni (ICAN) UiTM untuk mencari kaedah untuk menyatukan alumni UITM secara keseluruhannya.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof.Ts.Roziah Mohd.Janor, usaha tersebut menjadikan alumni UiTM sebagai entiti yang mempunyai peranan tersendiri dalam menjayakan agenda pendidikan Bumiputera.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana akhirnya pembentukan Persekutuan Alumni UiTM dapat direalisasikan dan terdaftar dengan sah serta diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Oleh itu, saya menyeru semua Persatuan-Persatuan Alumni Negeri, chapter Fakulti dan Kelab-Kelab di UiTM untuk mendaftar keahlian di dalam Persekutuan seterusnya sama-sama menggembeling idea dan usaha untuk memantapkan lagi gerakan alumni melalui Persekutuan yang dibentuk,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat PAUiTM Bagi Tahun 2020 di Hotel Concorde semalam.
Yang hadir sama ialah Presiden PAUiTM, Datuk Mohd.Zaini Hassan.
Roziah berkata, pihaknya pasti dengan kesatuan alumni melalui Persekutuan tersebut, suara alumni akan menjadi lebih kuat dan mantap.
“Setiap tahun alumni kita akan bertambah.Setiap kali selesai konvokesyen kita akan umumkan graduan automatik menjadi alumni.
“Saya merasakan pengumuman sahaja tidak cukup, kita juga perlu mengiktiraf mereka sebagai alumni.
Kita berharap UiTM menerusi ICAN mengiktiraf peranan alumni sebagai satu kuasa yang boleh membantu UiTM bukan sahaja di peringkat dalaman malahan membawa suara UiTM di luar,”katanya.
– BebasNews