KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk anak saudara Ahli Parlimen Sungai Buloh, R.Sivarasa telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada warga asing untuk “menutup kes” penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing oleh sebuah syarikat.

Anak saudara Sivarasa, Naveen Kularasa Rasiah dan bekas pekerjanya, Nico Kam Jo Hoe bagaimana pun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Media melaporkan semalam, Sivarasa mengecam tindakan SPRM dan mendakwa pertuduhan rasuah ke atas ahli keluarganya sebagai tindakan balas dendam susulan kelantangannya terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Sivarasa adalah Ahli Parlimen pertama membangkitkan isu pemilikan saham Azam di Parlimen dan sejak itu ia membawa kepada siasatan pelbagai pihak selain kecaman orang ramai termasuk perhimpunan kelmarin.

Sivarasa memaklumkan dalam kenyataannya semalam, anak saudaranya Naveen yang bertugas sebagai Pengurus Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh telah dipanggil ke pejabat SPRM, Jumaat lalu dan memberitahu dia akan didakwa atas kesalahan berkaitan kejadian yang berlaku pada 2017.

Hakim Azura Alwi, memutuskan tarikh sebutan kes Naveen dan Nico Kam pada 24 Februari.

Menerusi pertuduhan pertama yang dibaca di hadapan Azura, Naveen dan Nico Kam pada 17 September 2017 di Restoran Maluri Kuala Lumpur secara bersama meminta rasuah RM55,000 daripada syarikat Dyna Maintenance Services Sdn. Bhd., milik seorang warga asing, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kepada pihak imigresen.

Mono Miah dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Sementara itu dalam pertuduhan kedua, secara bersama-sama Naveen dan Nico Kam pada 19 September 2017 di Kuala Lumpur bersetuju menerima RM45,000 daripada Mono melalui Nico Kam.

Rasuah itu diterima sebagai dorongan untuk tidak memberitahu kepada pihak imigresen mengenai kegiatan syarikat milik Mono yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Pertuduhan ketiga pula pada 21 September 2017 di Restoran Habeeb Jaya, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, dengan niat bersama menerima RM20,000 daripada Mono untuk tidak memberitahu kepada pihak imigresen mengenai kegiatan syarikat milik Mono yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Ketiga-tiga pertuduhan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman untuk ketiga-tiga pertuduhan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.- BebasNews

Leave a Reply