KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) secara prinsipnya bersetuju menimbang bantuan berupa geran khusus bagi meringankan beban usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir selain bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan sebelum ini.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan berbincang lebih lanjut dengan MEDAC, kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan-Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang dibentangkan untuk pertimbangan Kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” kata beliau selepas mempengerusikan EAC untuk membincangkan impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal.

Ismail Sabri menambah, selain memberikan bantuan tersebut lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.

Pada mesyuarat hari ini, kata beliau, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah berkongsi impak akibat banjir sambil mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

Bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir, Kerajaan telah memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam.

Ismail Sabri berkata, dalam mesyuarat tersebut beliau turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.- BebasNews

Leave a Reply