SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, kerajaan negeri hanya membuat persediaan untuk menghadapi banjir seperti mana tahun-tahun sebelum ini.

Menurutnya, bencana banjir akibat hujan lebat luar biasa pada 18 Disember lalu melampaui pengalaman kerajaan negeri yang sebelum ini yang bersedia untuk mengurus 5,000 mangsa sahaja.

“Kami bersiap sedia untuk 5,000 orang dan kenapa (sebanyak itu) sebab (apa yang berlaku) pada tahun 2015, 2017 dan 2018 tidak melebihi jumlah itu.

“Tapi tempoh 24 hingga 48 jam, kami telah memperbetul semula (pengurusan banjir). Saya rasa ahli Parlimen sudah menjawabkan dan saya pun sudah jelaskan termasuk pada sidang akhbar sebelum ini dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.

Amirudin juga menjelaskan beliau tidak menuding jari kepada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kelemahan banjir di peringkat negeri.

Beliau berkata, sekarang adalah masa untuk semua pihak bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan isu berkaitan banjir seperti berdepan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.

“Namun, Perdana Menteri mengambil sikap untuk tuding jari kepada orang lain, mungkin itu solusi dia hendak selesaikan masalah. Saya tiada masa hendak salahkan beliau atau sebagainya,” jelasnya.

Mengulas desakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan banjir, Amirudin menjelaskan perkara itu boleh dibangkitkan dalam sidang DUN pada 14 Mac depan.

Katanya, beliau berkemungkinan akan membentangkan laporan khas mengenai pertambahan belanjawan diperlukan dalam menangani hal banjir sama ada infrastruktur dan bantuan. – BebasNews

Leave a Reply