Anwar Ibrahim. Foto ihsan Awani

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya membuka ruang kepada semua parti pembangkang untuk bertanding di bawah PH bagi menentang UMNO dan Perikatan Nasional (PN).

“Ada beberapa persetujuan awal, kita akan membuka ruang merangkul semua kekuatan pembangkang dan society untuk pastikan ada perubahan.

“Kalau ada sedikit-sedikit keretakan tidak akan membantu.. jadi kita kena ada satu suara, satu strategi untuk memastikan kerajaan UMNO dan PN ini dikalahkan, bermula di Johor,” kata beliau selepas mesyuarat PH di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, lapor Awani.

Anwar berkata, keputusan sama ada PH akan mengunakan logo PKR atau sebaliknya akan dimuktamadkan dalam tempoh dua hari lagi.

“Logo kita juga ada zahirkan tadi. Berdasarkan pengalaman, akar umbi terhadap Keadilan itu agak kuat, logo Keadilan digunakan.

“Tapi pandangan kawan-kawan lain merasakan lebih sesuai (logo) Pakatan Harapan digunakan, jadi kita akan muktamadkan dua hari lagi,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara parti politik di bawah PH, jelasnya perkara itu diserahkan kepada pimpinan PH Negeri Johor untuk menentukannya.

“Pembahagian kerusi kita serah kepada (PH) Johor, kira ada beri pemakluman. Dia (PH Johor) akan laporkan dekat kita, ya 56 kerusi,” jelas Anwar lagi.

Tambah Anwar, strategi mengumpulkan semua parti pembangkang itu adalah untuk membawa perubahan di negeri Johor.- BebasNews

Leave a Reply