DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan pada 22 Januari 2022. Ini menandakan rakyat Johor akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Tetapi, walaupun Kerajaan Johor yang dibubarkan, diterajui wakil Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), ikut ceritanya, PN langsung tidak dibawa berunding untuk memutuskan isu pembubaran DUN ini.

Kalau ini benar, tidakkah ini bermakna pembubaran DUN Johor beberapa hari lalu bertentangan dengan prinsip perkongsian kuasa yang wujud di Johor sejak selepas pilihan raya umum Ke-14 (PRU14)?

Tindakan ini juga bermakna pembubaran DUN Johor ini dilakukan hanya mengikut percaturan BN, bukannya atas persetujuan BN dan PN yang mentadbir Johor?

Jadi, siapa yang sedang mentadbir Johor pada saat dan ketika ini? Adakah wakil PN masih bersama BN untuk mentadbir Johor dalam kerajaan sementara pada hari ini?

Jika apa yang telah terjadi di atas merupakan satu fakta, siapa boleh melarang kalau sebilangan rakyat Johor menganggap UMNO dan BN Johor sombong dan bongkak?

Rakyat Johor, atau lebih tepat lagi, Bangsa Johor, memang dididik untuk sentiasa membenci perbalahan, persengketaan atau permusuhan.

Tapi, apakah yang dianggap oleh segolongan rakyat Johor sebagai sifat sombong dan bongkak UMNO dan BN Johor ini perlu kita biarkan berterusan?

Adakah seluruh pemimpin dan penyokong BN dan PN Johor rela dan reda dengan sikap sombong dan bongkak UMNO dan BN yang membelakangkan prinsip perkongsian kuasa untuk membubarkan DUN Johor?

Ramai rakyat dan pengundi Johor sedar kenapa UMNO dan BN Johor terpaksa membubarkan DUN Johor secara tergesa-gesa.

Rata-rata mereka juga insaf kenapa ramai calon UMNO dan BN kalah dan tersungkur di Johor dalam PRU14.

Secara umumnya, menjelang PRU14, segolongan pembesar UMNO dan BN berhadapan dengan masalah integriti dalam perjuangannya.

Mereka terpalit dengan isu salah guna kuasa dan pelbagai tuduhan rasuah yang menggemparkan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Isu ini berterusan sampai sekarang. Dalam kita sibuk menghadapi PRN Johor, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selaku Presiden UMNO.

Makhamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zahid untuk membela diri “terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi”.

Kisah perintah mahkamah ke atas Zahid ini disiarkan secara meluas dalam surat khabar dan televisyen. Ini bukan fitnah, tetapi kebenaran.

Hakikat mengenai perintah mahkamah ini perlu disedari oleh seluruh pengundi Johor supaya mereka tidak diperdayakan dengan dakyah kononnya ini fitnah atau konspirasi.

Hakikat di atas juga menunjukkan bahawa PRN Johor dibayangi oleh isu 47 pertuduhan “rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram” yang melibatkan Zahid.

Tetapi, disebabkan UMNO adalah induk kepada BN, ini bermakna BN yang bertanding dalam PRN Johor juga digerhanakan oleh tuduhan “rasuah dan pecah amanah”.

Dalam keadaan seperti ini, rakyat dan pengundi dalam PRN Johor perlu membuat pilihan serta pendirian yang berani.

Pilihannya, adakah kita mahu menjadikan PRN Johor untuk melindungi amalan “rasuah dan pecah amanah” yang kini dihadapi oleh Presiden UMNO serta lain-lainnya, termasuk dalam kalangan orang DAP?

Sebaliknya, tidakkah kita mahu menjadikan PRN Johor sebagai tindakan untuk menolak “rasuah dan pecah amanah” di Johor dan di seluruh negara buat selama-lamanya?

Pada ketika ini, hanya PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja pilihan terbaik untuk pengundi dalam PRN Johor.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin menentang rasuah secara habis-habisan.

Muhyuddin juga enggan untuk mencampuri urusan mahkamah dalam menangani kes rasuah.

Akibatnya, Muhyiddin diserang dengan pelbagai tohmah dan fitnah sehingga beliau meletakkan jawatannya pada Ogos 2021.

Ketika jadi Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin juga disingkirkan dari jawatan ini kerana menentang isu rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh itu, kita perlu insaf, pemimpin Melayu Johor merupakan pelopor tindakan menentang penjajah Inggeris pada tahun 1946 sehingga mencetuskan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Berasaskan huraian di atas, tiba masanya kita pelopori tindakan menentang rasuah menerusi PRN Johor. Ini kita lakukan demi rakyat Malaysia seluruhnya.

Kesimpulannya, rakyat dan pengundi Johor perlu menjadikan PRN Johor untuk menentang “rasuah dan pecah amanah” di Malaysia buat selama-lamanya.

Perjuangan Muhyiddin menentang rasuah menerusi Bersatu dan PN mesti diperkasa menerusi PRN Johor.

Semoga keberanian pengundi Johor ini akan meledakkan tsunami menentang rasuah di Malaysia menerusi PRU15 yang akan tiba tidak lama lagi.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.

BebasNews

2 COMMENTS

  1. Nak pilih siapa?Segala keputusan kerajaan negeri siapa yang perkenankan.Kerajaan luluskan permohonan tetapi bila dipersembahkan macam mana cerita pula.Susah kalau ikut jari telunjuk.Melawan hilang pangkat dan kerja.Tak akan ada perubahan kalau tukar kerajaan.Semuanya sama.

  2. Sokong statement ” UMNO sombong n Bongkak”. Walaupun Legasi UMNO bermula dari Johor, Tak bermakna sokongan harus berterusan. UMNO need a clean slate! Bersihkan the leadership from the top to the bottom. Learn from other countries! If u causes the party to lose support from people, please resign.. Bangsa Johor mampu berdiri sendiri! Tak perlu telunjuk dari UMNO… Tak sokong UMNO bkn Tak sokong MELAYU… We need a leader who can LEAD

Leave a Reply