SAYA mengikuti rangkaian berita Sky News bertajuk Into The Grey Zone, satu siri mengenai garisan kelabu peperangan informasi palsu, disinformasi, yang bukan sahaja boleh mengakibatkan perang dingin antara negara, malah dengan sesiapa sahaja — termasuk antara pembangkang dan kerajaan.

Menurut Cambridge Dictionary, Grey Zone atau Zon Kelabu adalah aktiviti propaganda oleh sesebuah negara ke atas negara lain, yang boleh dianggap sebagai tindakan perang (acts of war), yang secara legalnya bukanlah peperangan. Ia lebih kerana satu tindakan pembohongan dan penipuan untuk menghancurkan pengaruh atau kuasa sesuatu pihak.

Ia juga boleh dianggap sebagai perang psikologi songsang (reverse psycology), satu teknik pemujukan untuk mempengaruhi orang ramai mempercayai kepada perkara yang sebaliknya berbanding perkara pokok yang dihadapi.

Salah satu tajuk yang boleh diikuti menerusi podcast Sky News Radio bertajuk True vs Lies, meneroka mengenai peperangan antara kebenaran dan pembohongan yang mengancam demokrasi seluruh dunia.

Ia melihat bagaimana informasi atau maklumat digunakan sebagai senjata, bukan sahaja antara negara-negara asing yang bersengketa, untuk dipecahkan dan dilemahkan, tapi juga melibatkan adu-domba parti-parti politik tempatan dan ahli-ahli politik yang lain.

Wartawan Sky News Deborah Haynes juga mewawancara penulis buku mengenai sejarah disinformasi, Profesor Thomas Rid, yang menganalisis mengenai penyebaran berita palsu (fake news) semasa Perang Dingin, serta memberi amaran kepada kesan keganasan politik masa kini apabila masyarakat tidak lagi bersetuju dan mempercayai kepada fakta. (Buku Thomas Rid bertajuk Active Measures: The Secret History of Disinformation and Political Warfare)

Amat benar amaran itu apabila penyokong Donald Trump yang menyerbu bangunan Capitol di Washington DC Januari lalu, ditiupkan dengan kepercayaan karut bahawa Joe Biden telah “mencuri” kemenangan Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat 2020 yang lalu.

Akibat berita palsu “yang disengajakan” itu lima orang terbunuh.

Harus diingat bahawa penyebaran berita palsu bukan lagi seperti di zaman Perang Dingin, tetapi menerusi media sosial yang merebak dengan begitu pantas.

Apa yang berlaku di luar sana juga berlaku di Malaysia. Banyak unsur-unsur dan elemen Grey Zone ini berada dalam negara ini. Ia adalah peperangan politik (political warfare), yang menggunakan kuasa informasi untuk memusnahkan musuh dan lawan, organisasi atau agensi serta sesiapa sahaja.

Kuasa informasi itu ditukar menjadi disinformasi iaitu informasi palsu “yang sengaja disebarkan untuk menipu orang ramai”.

Malah istilah dalam bahasa Inggeris disinformation adalah pinjaman terjemahan dari bahasa Russia, dezinformatsiya, berasal dari nama sebuah departmen propaganda hitam, agensi perisikan KGB.

Menurut Wikipedia, disinformasi didefinisikan dalam Ensiklopedia Kesatuan Soviet (1952) sebagai “informasi palsu dengan maksud untuk menipu dan memanipulasi pendapat umum (public opinion)”.

Operasi “Infektion” adalah contoh kempen perang dingin disinformasi Soviet untuk mempengaruhi pendapat umum bahawa Amerika Syarikat mencipta penyakit Aids.

Sebagai wartawan senior, saya melihat unsur ini juga berlaku di negara ini sejak sekian lama. Krisis politik sekitar akhir 90-an memperlihatkan usaha regime change (tukar kerajaan), diusahakan oleh sebuah negara kuasa besar terhadap negara ini dan negara tertentu di rantau Asia Tenggara. Indonesia berjaya dijatuhkan. Malaysia, hampir-hampir jatuh, namun kerajaan utuh sehinggalah pada PRU-14, apabila kerajaan UMNO jatuh setelah lebih 60 tahun memerintah.

Adakah isu 1MDB juga adalah kesan Zon Kelabu yang saban hari digempur dengan pelbagai maklumat — yang sahih mahupun tidak — sehingga rakyat mempercayainya?

Apakah Tun Dr Mahathir Mohamad, akhirnya mempercayai bahawa beliau juga telah dipengaruhi oleh propaganda berlebihan?

Seperti yang saya kata ada maklumat yang benar, dan ada yang palsu. Adakah istilah Kluster Mahkamah yang dialih kepada Kluster Kuasa dan Kluster Broker juga adalah salah satu peralihan tumpuan kepada perkara pokok?

Apabila tuduhan mengatakan badan pencegah rasuah, SPRM adalah alat politik kepada kerajaan semasa; adakah ia juga satu serangan bagi mengalih tumpuan kepada perkara pokok?

Adakah mereka yang menuduh itu lupa bahawa kerajaan 22 bulanlah yang memulakan pelbagai pendakwaan politik semasa pemerintahan mereka?

Rakyat cukup teruja apabila SPRM kelihatan cukup tegas dan aktif dalam tanggungjawab mereka. SPRM tidak sepatutnya merasa bersalah dengan tuduhan liar itu, sebaliknya berusaha lebih agresif lagi — tanpa pilih kasih.

Hakikatnya, Malaysia sedang mengalami kecelaruan politik, yang tidak pernah seteruk ini dalam sejarah. Peperangan disinformasi dibentuk, direka dan dilancarkan oleh pihak yang mempunyai pelbagai kepentingan. Ia sedang berlaku dan ia adalah nyata.

Rakyat harus sedar mengenai hal ini. Kita harus faham mengenai peperangan politik ini. Propaganda dan disinformasi ini boleh memusnahkan negara dan mengelirukan rakyat.

Sama ada masih wujud tangan-tangan ghaib dari luar yang turut terlibat, atau hanya tangan-tangan ghaib dari dalam, semuanya sudah boleh menghancurkan negara ini.

Akibatnya, ekonomi kita kini tercorot kebelakang. Namun, itulah matlamat yang mahu dicapai.

Hubaya-hubaya. Awasilah yang tersirat.

“Artikel ini diulang siar. Pertama kali ia disiarkan pada 15/3/2021”
— BebasNews

Leave a Reply