Sang Purnama dendangan Wani Syaz dan Wany Hasrita menampilkan rentak etnik pop.

KESERASIAN sebagai sahabat dan pasangan duet membuatkan penyanyi Wany Hasrita dan Wani Syaz meneruskan kolaborasi kedua mereka menerusi lagu Sang Purnama selepas lagu Sinar Terindah.

Lagu Sang Purnama ciptaan dan lirik oleh Sang Hitam atau Shafie Ghazali ini asalnya dicipta untuk nyanyian solo, namun digubah semula menjadi lagu duet sebelum rakaman.

“Pada peringkat awal lagu ini dicipta memang berpaksi dan merujuk kepada lagu-lagu dendangan Noraniza Idris dan Datuk Siti Nurhaliza. Sewaktu mencipta lagu, saya menggambarkan satu karya yang berteraskan lagu etnik pop dan padang pasir.

“Tetapi setelah melodi dan liriknya siap, saya terfikir alangkah baiknya jika lagu ini dinyanyikan oleh orang baharu dan yang terbayang dalam fikiran saya ketika itu ialah Wany Hasrita. Maka suntikan baharu terus dibuat agar roh lagu ini bersesuaian dengan karakter nyanyian Wany,” katanya.

Bagaimanapun hasrat Sang Hitam untuk melihat Wany Hasrita menyanyikan lagu ciptaannya secara solo tidak kesampaian kerana selepas bertemu dengan orang kuat FMC, Mr. Ho, lagu tersebut digubah menjadi lagu duet.

“Setelah saya perdengarkan lagu ini pada FMC Music, Mr.Ho mencadangkan agar lagu ini dibuat lagu duet. Maka saya balik dan terus ubah beberpa bahagian untuk disesuaikan dengan konsep duet dan berpadanan dengan karakter nyanyian Wani Syaz.

“Saya rasa puas apabila Wany Hasrita memberi sepenuh jiwa untuk lagu ini. Bukan sahaja saya dapat apa yang saya gambarkan, tetapi Wany Hasrita dan Wani Syaz memberi sesuatu yang luar biasa. Saya suka lenggok nyanyian Wani Syaz yang merdu dan bernahu Arab.

“Begitu juga dengan Wany Hasrita. Saya minta A mereka terus bagi dengan padu dan memang wow lah. Senang bekerjasama dengan mereka,” akui Sang Hitam.

Sang Hitam atau Shafie Ghazali puas hati dengan komitmen Wany Hasrita dan Wani Syaz.

Selain Sang Hitam, Sang Purnama yang berentak Etnik Pop ini juga dicipta bersama Mas Dewangga dan Aden King. Manakala lirik diilhamkan sepenuhnya oleh Sang Hitam.

Tambahnya, lagu ini diilhamkan dari kisah percintaan agung Nabi Allah Adam A.S dan Siti Hawa. Tetapi ianya lebih memfokuskan tentang gambaran luahan perasaan Siti Hawa.

“Proses rakaman Sang Purnama telah dilakukan sebanyak dua kali. Yang pertama mengambil masa tiga jam untuk merakamkan vokal awalan yang bertindak sebagai rangka lagu, dan kali kedua sebagai proses improvisasi mana-mana bahagian yang perlu penambah baikan dan lain-lain,” jelasnya tentang proses rakaman lagu tersebut.

Sementara itu, Wani Syaz mengakui yang lagu Sang Purnama benar-benar meruntun jiwanya tatkala menjalani proses rakaman.

“Pertama kali saya menangis dalam studio. Memang terkejut juga la Sang Hitam dan abang Lan Laga yang ditugaskan untuk guide vokal malam tu. Sebab tiba-tiba saya menangis dan terhenti nyanyi.

“Malu pun ada, tapi sebab masa tu saya dah tak dapat kawal perasaan penat, vokal saya dah mula terketar-ketar dan ditambah pula saya tengah rakam bahagian lirik ‘kerana sedalam-dalam rindu mu akhirnya bertaut semula’.

“Actually, kalau hayati lirik lagu ni betul-betul memang boleh rasa sayu. Sebab lirik lagu ni menggambarkan tentang perasaan Siti Hawa sewaktu berpisah dengan Nabi Adam A.S. Ditambah pula waktu itu memang dah menjelang ke tengah pagi. So memang pakej la perasaan tu. Tu yang tak tahan terus nangis,” cerita Wani Syaz tentang pengalamnya sewaktu di dalam studio rakaman.

Wany Syaz menangis di dalam studio kerana terkesan dengan lirik lagu Sang Purnama.

Jika Wani Syaz mengalir air mata sewaktu di dalam studio, Wany Hasrita pula meluahkan rasa teruja apabila dapat memuaskan hati pencipta lagu ini.

“Dah tentulah sebagai penyayi saya mahu hasilkan karya yang bagus, saya hayati bait-bait lirik dan melodi lagu ini beberapa hari sebelum tarikh rakaman. Saya juga buat beberapa rujukan dengan mendengar lagu-lagu nyanyian kak Noraniza Idris dan Datuk Siti, selain mendengar lagu- lagu Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.

“Saya cuba terapkan di dalam lenggok nyanyian saya. Memang susah tetapi sebagai anak seni saya kena rajin jika nak majukan diri. Ingatkan saya sorang saja yang buat macam tu. Rupanya Wani Syaz juga buat perkara yang sama. Kerana kami nak pastikan hasil karya kali ini menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan,” kata Wany Hasrita.

Sementara itu, video muzik Sang Purnama dilancarkan pada 20 Januari 2022 di saluran YouTube FMC Music, manakala lagu (audio) dilancarkan serentak mulai 21 Januari 2022 di seluruh saluran digital dan radio.

Adalah menjadi harapan Wany Hasrita dan Wani Syaz, lagu Sang Purnama dapat memuaskan hati peminat mereka.- BebasNews.

Leave a Reply