SERI KEMBANGAN – “Kejadian berlaku agak pantas, saya dan beberapa rakan cuma sempat alih kereta yang mana sempat saja,” demikian kata seorang saksi kejadian tanah mendap di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini petang Selasa.

Alter Jasan, 48, berkata, kejadian kira-kira 6.30 petang itu bermula dengan rekahan kecil sebelum berlakunya pergerakan tanah.

“Memang nampak pergerakan tanah masa itu, saya cuma sempat alihkan beberapa buah kereta, itu pun dengan bantuan beberapa rakan.

“Sebelum itu hujan memang lebat, jadi secara tak langsung mengakibatkan keadaan tanah semakin mendap sekali gus mengakibatkan runtuhan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, ketika kejadian terdapat 13 buah kenderaan diletakkan di tepi jalan berkenaan.

“Saya dan rakan berjaya selamatkan lapan buah kenderaan sahaja, baki lima lagi memang tak lepas sebab tanah semakin mendap.

“Memang tak dapat nak buat apa-apa baki lima buah kereta lagi itu sebab keadaan cuaca pun masih hujan. Kami bimbang keselamatan, tambahan dengan arus yang agak deras parit berhampiran lokasi runtuhan ini,” katanya.

Salah seorang mangsa, Mohd Nazir Mohd Ghazali, 46, hanya mampu melihat kereta miliknya yang jatuh ke dalam parit berhampiran lokasi runtuhan.

“Ketika kejadian saya dalam perjalanan dari tempat kerja menuju ke rumah, rakan yang maklumkan kejadian ini.

“Saya terus datang ke sini dan melihat kereta saya sudah tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya.

Mengakui sedih dengan keadaan tersebut, Mohd Nazir berkata, kereta Proton Wira miliknya itu mempunyai kenangan yang begitu berharga dalam hidupnya.

“Kereta tu merupakan kereta pertama saya, memang sedihlah bila jadi macam ini, tapi nak buat macam mana, saya reda.

“Saya juga difahamkan kereta-kereta yang terjatuh itu kena dialihkan menggunakan kren, apa-apa pun kena tengok keadaan dulu sebab masih hujan dan bimbang pergerakan tanah masih berlaku,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sebanyak lima kenderaan yang diletakkan berhampiran rumah kedai di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana di sini rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, berlaku mendapan berhampiran longkang sehingga mengakibatkan lima kenderaan pelbagai jenis mengalami kerosakan.

Bagaimanapun katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu.

https://www.sinarharian.com.my/article/184829/BERITA/Semasa/Pergerakan-tanah-berlaku-begitu-pantas-Saksi

 

Leave a Reply