KUALA LUMPUR – Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) memandang serius berhubung penurunan kedudukan dan skor negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) seperti mana diumumkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) semalam.

Sambil menyatakan bahawa perhatian akan diberi kepada cadangan yang telah dikemukakan TI-M, GIACC juga meminta semua agensi peneraju lebih cakna dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

GIACC sebagai penyelaras dengan kerjasama agensi-agensi peneraju akan terus mempergiatkan gerakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam enam bidang keutamaan yang dinyatakan dalam NACP, kata GIACC dalam kenyataannya di sini.

GIACC berkata pihaknya yakin bahawa pelaksanaan penuh inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam NACP secara agresif dan drastik akan memberi manafaat secara menyeluruh dalam
menginstitusikan tadbir urus baik, integriti dan antirasuah di samping mampu memberi
impak kepada kedudukan Malaysia dalam penilaian CPI pada masa akan datang.

“Kami juga akan meneliti secara menyeluruh syor-syor yang telah dikemukakan oleh pihak TI-Malaysia dan akan terus komited dalam memastikan pelaksanaan dasar dan
inisiatif yang terkandung dalam NACP dilaksanakan, selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan dalam perkhidmatan awam.

Penurunan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI bagi tempoh dua tahun berturut turut merupakan satu perkara yang amat serius dan boleh memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Justeru, komitmen daripada semua amat penting dalam memastikan pelaksanaan NACP ke arah mencapai matlamat Keluarga Malaysia yang berintegriti tinggi dan bebas rasuah.

KENYATAAN MEDIA CPI 2021 GIACC (FINAL)

BebasNews

Leave a Reply