Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip hasil mencecah RM42.50 bilion, melepasi sasaran awal RM40 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian
Kewangan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain kejayaan kutipan hasil, tahun 2021 juga telah menyerlahkan keunggulan sektor Penguatkuasaan JKDM apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik Covid-19 dan bencana alam.

“Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai Economic Frontliners atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 tahun 2022 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya hari ini.

Yang hadir sama ialah Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri Abdul Latif Abdul Kadir.

Mengulas tema sambutan Hari Kastam Sedunia tersebut, “Memperluas Transformasi Digital
Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data”, Ismail Sabri berkata, tema tersebut adalah amat relevan dengan situasi semasa.

” Tema tersebut bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa.

“Saya percaya bahawa suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan dan operasi JKDM mampu memperkasa prestasi jabatan ini sekali gus mencorak Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk
terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudahcara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

Beliau menambah, komitmen tersebut terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan.

TEKS UCAPAN YAB PM-KASTAM

BebasNews

Leave a Reply