JOHOR BAHRU – Keputusan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah kerana beliau mahu fokus dan memberi komitmen untuk memperkasakan jentera parti bagi menewaskan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Bersatu Johor merangkap Ketua Bahagian Bersatu Ledang, Mohd Solihan Badri berkata, tanpa terikat sebagai calon, mantan Perdana Menteri ke-8 itu boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

Katanya, Muhyiddin berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“Keputusan beliau yang juga Presiden Bersatu berundur juga tidak menjejaskan prestasi atau memberi kesan negatif, sebaliknya mampu menggandakan pengukuhan dan kekuatan jentera parti bagi menewaskan BN pada PRN Johor kali ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Justeru, menurut Solihan apabila tidak lagi terikat sebagai calon pilihan raya, Muhyiddin mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada perancangan strategi dan tindakan-tindakan untuk memperkukuhkan peluang calon PN memenangi PRN Johor.

Bersatu Johor katanya yakin, sebagai ahli politik dan pemimpin parti yang berpengalaman mengarahkan pengurusan pilihan raya kecil, PRN serta Pilihan Raya Umum (PRU), Muhyiddin mampu memberi kemenangan kepada calon-calon PN dalam PRN ini.

Mengenai DUN Gambir, Muhyiddin telah meminta kepemimpinan Bahagian Bersatu Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepada beliau kerana DUN Gambir terletak di bahagian ini.

“Saya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Ledang telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi,” katanya.

BebasNews

Leave a Reply