Yen Keek (depan) dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini kerana memberi rasuah sebanyak RM600 kepada anggota KPDNHEP Johor pada Julai tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Hanya kerana memberi rasuah RM600 kepada seorang kakitangan kerajaan, seorang warga emas ‘merasa’ pengalaman meringkuk dalam penjara selama sehari.

Bukan itu sahaja, akibat perbuatan berkenaan, dia turut didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Tan Yen Keek, 65, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan seorang pemilik kedai gas cuba merasuah seorang anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di premis miliknya di Kawasan Perusahaan Ringan Pulai, jam 11.30 pagi, 15 Julai 2021.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan agar anggota berkenaan tidak membuat pemeriksaan lanjut terhadap premis miliknya yang menjalankan aktiviti perniagaan pemborong dan pengedar gas memasak (LPG).

Terdahulu, peguam bela tertuduh, A. K. Bharathi meminta mahkamah memberikan hukuman minuman terhadap tertuduh kerana itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.

“Selain itu, tertuduh turut menanggung seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia 25 tahun yang mempunyai masalah kesihatan mental dan penyakit jantung berlubang.

“Tertuduh turut menanggung sewa kedai berjumlah RM2,200 sebulan selain turut perlu membayar gaji dua orang pekerjanya,” katanya.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan akan dikenakan tiga bulan penjara. – BebasNews

Leave a Reply