ISMAIL Sabri Yaakob (kiri) berbual mesra dengan Lee Zii Jia selepas pertemuan di Perdana Putra, Putrajaya. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob

TIDAK cukup dengan pengesahan Lee Zii Jia dalam Facebooknya kelmarin bahawa isunya mahu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah selesai, Perdana Menteri pula hendak tumpang sekaki!

Menggunakan laman sosial tersebut, Ismail Sabri Yaakob juga menghantar ‘servis’ dengan memuat naik kata-kata alu-aluannya: “Bertemu dengan Presiden BAM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria bersama kepemimpinan tertinggi BAM.

“Turut serta, jaguh badminton (perseorangan lelaki dan wanita) negara, Zii Jia dan Goh Jin Wei di Perdana Putra (Putrajaya) tengah hari tadi.

“Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara,” katanya.

ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan) mengadakan pertemuan dengan Mohamad Norza Zakaria (kanan) dan Lee Zii Jia (dua dari kiri) di Perdana Putra, Putrajaya hari ini. – Foto FB Ismail Sabri Yaakob

Namun kalangan warganet melemparkan kritikan demi kritikan dalam ruangan komen susulan hantaran Pak Long (gelaran Ismail yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan 2008 hingga 2009).

Kata mereka, isu seremeh ini tidak perlu sampai kepada peringkat Perdana Menteri untuk menyelesaikannya sedangkan isu rakyat yang lebih besar seperti kenaikan melambung harga barang dan bantuan pascabanjir, masih hangat melanda negara.

Ada juga yang mengkritik kerana menganggap isu Zii Jia mahu menjadi pemain bebas ini boleh diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sahaja.

Zii Jia dalam hantaran Facebook kelmarin berkata, “saya gembira bahawa kini kami telah menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri Norza untuk menjadi seorang pemain bebas.”

MOHAMAD Norza Zakaria (dua dari kiri) dan Ismail Sabri Yaakob (baju batik) bergambar dengan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei (tiga dan dua dari kanan) selepas pertemuan di Perdana Putra. – Foto FB Ismail Sabri Yaakob

Majlis BAM pada 17 Januari lalu, memutuskan untuk tidak mendaftarkan juara Seluruh England 2021 itu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun ekoran surat penarikan dirinya daripada persatuan pada 11 Januari lalu.

Zii Jia, 23, pemain nombor tujuh dunia kelahiran Alor Setar, Kedah, dikatakan memberikan alasan tidak tahan dengan tekanan dengan gaya hidup di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara milik BAM yang dianggap mengongkong dan menyukarkannya.

Goh Jin Wei, 22, bekas juara remaja dunia 2015 dan 2018, turut tidak didaftarkan BAM pada mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun mulai 31 Oktober lalu.-BebasNews

Leave a Reply