Mazlan Bujang

JOHOR BAHRU  – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan sebagai Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tebrau berkuat kuasa serta-merta.

Turut menyertai bekas Pengerusi BERSATU Johor  itu ialah 23 orang yang terdiri daripada ketua cawangan dan ahli jawatankuasa BERSATU  bahagian tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan tidak akan menyertai mana-mana parti pada masa ini dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Setelah menilai dan menimbang semenjak sekian lama dengan pemikiran yang waras, maka saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Tebrau berkuat kuasa serta-merta dan keluar daripada parti.

“Saya juga mengisytiharkan bahawa saya kini tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong BN,” katanya dalam sidang media di Kompleks Yayasan Warisan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan turut menyatakan pendirian menyokong Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohamad untuk memimpin semula negeri Johor.

Katanya, sokongan itu bagi mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri ini yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor.

“Keputusan ini saya buat berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil, kepimpinan yang diyakini dan juga berdasarkan kegagalan dua kepimpinan Menteri Besar sebelum ini mentadbir negeri Johor dengan baik.

“BERSATU dan parti Pakatan Harapan (PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon Menteri Besar yang layak mentadbir negeri Johor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mazlan juga menyeru kepada semua ahli dan penyokong BERSATU untuk bermuhasabah diri dan menyokong kepimpinan Hasni dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini.

Sebelum ini, Mazlan memberi bayangan tidak kekal lama dalam parti ekoran hubungan dengan Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Difahamkan sejak bekas Perdana Menteri itu memegang jawatan berkenaan, Mazlan tidak pernah hadir sekali pun mesyuarat ketua-ketua Bahagian BERSATU Johor. – BebasNews 

Leave a Reply