Presiden 4PM, Rosland Mohd Arif menyematkan pin 4PM kepada Zamshuri.

RAMAI penyanyi yang berebut-berebut menghasilkan lagu terbaik untuk mempopularkan diri mereka. Namun ini tidak kepada pelakon dan penyanyi, Zamshuri Ramli yang lebih memikirkan lagu ini sebagai peninggalan amalnya dan bekalannya diakhirat nanti.

Lagu yang dirakam di Booty Studio ini kini dalam proses akhir mastering di Amerika Syarikat.

“Dua minggu lagi siaplah, single terbaru saya. Ini saja yang mampu saya nak tinggalkan nanti. Kiranya lagu berunsur dakwah ini untuk bekalan saya diakhirat nanti. Lagu bertajuk, Bersyukur ini adalah ciptaan penyanyi, Daq Mie dan lirik oleh saya sendiri. Lagu ini nanti bolehlah saya selitkan ketika memberi ceramah motivasi kepada peserta-peserta.

“Inlah kemunculan kedua saya selepas 15 tahun dulu bersama syarikat rakaman SRC. Dulu saya rakam lagu berunsurkan motivasi bertajuk, Langkah duet dengan pelakon Rashdan Baba.

“Saya buat single ini pun bukan nak menyaingi sesiapa kerana saya sedar kemampuan saya. Namun saya harap lagu ini nanti mampu memberi kesedaran kepada mereka yang menghayati setiap bait lagu yang saya cuba sampaikan ini,’’ kata Zamshuri yang popular menerusi drama bersiri Skuad Elit.

Wajah Zamshuri ketika zaman kemuncaknya.

Populariti dizaman kemuncaknya pada awal tahun 2000 membuatkan Zamshuri banyak menerima tawaran berlakon drama dan filem. Antara filem yang dibintanginya sebelum `menghilangkan diri’ ialah filem, Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan. Manakala drama terakhirnya pula ialah Dendam Sarakit dan Transit Terakhir.

Ditanya mengenai `kehilangannya’ dipersada seni, Zamshuri atau nama sebenarnya, Nor Zamshuri Ramli, 51, berkata,“ Saya tak hilang, cuma sebelum ini saya memperlahankan aktiviti seni disebabkan kekangan masa. Waktu itu, saya terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan kerana baru membuka perniagaan berkaitan latihan dan pembangunan insan.

“Selain itu, saya juga sibuk menjaga bapa yang uzur dan kemudian meninggal dunia pada 2011. Kini setelah bisnes dan karier baru semakin stabil membuatkan saya berani nak buat `comeback’ kerana rasa rindu untuk berlakon dan berjumpa dengan sahabat-sahabatnya.”

Dalam dunia perniagaan, Zamshuri kini aktif sebagai penceramah motivasi. Sepanjang penglibatannya sebagai penceramah motivasi, Zamshuri cukup berbangga apabila menerima anugerah daripada Asiapez sebagai Top Motivator Award dan Top Performance untuk tahun 2021.

Selain menjadi penceramah motivasi, Zamshuri juga aktif dengan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Komitmennya yang bagus membuatkan Zamshuri dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Korporat untuk Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM). Persatuan ini bertujuan membantu permasalahan hutang dan liabiliti pengguna yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Terima kasih diucapkan kepada Presiden 4PM, Rosland Mohd Arif kerana mempercayai keupayaan saya untuk menggalas tanggungjawab ini. Sudah pasti pengalaman yang saya ada akan digunakan bagi membantu 4PM melangkah lebih jauh dan berada diseluruh Malaysia.

“4PM merupakan satu-satunya NGO di Malaysia yang menjadi pakar mediasi bagi mengatasi pelbagai masalah perbankan, pakar urusan lelongan, kebangkrapan, penstrukturan dan penjadualan semula hutang-hutang pengguna. Kami juga adalah satu tempat hentian (one stop centre) untuk segala permasalahan perbankan, kredit sivil dan permasalahan pengguna.

“Kami juga akan membantu pengguna keluar dari kebangkrapan, penggulungan syarikat dan pembekuan akaun. Mereka juga akan dibantu untuk melupuskan nama dari disenarai hitam, mengelakkan kenderaan ditarik, mengelakkan rumah disita, merendahkan faedah pinjaman dan komitmen bulanan serta penjadualan semula tunggakan pinjaman.” ujar Zamshuri mengenai pejabat mereka yang beroperasi di Ampang.

Dalam masa 9 tahun penubuhannya, 4PM telah menjadi rakan Jabatan Insolvensi Malaysia, Mahkamah Timbang Tara Malaysia dan juga rakan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia.

Zamshuri menambah,“4PM menawarkan khidmat kepakaran kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. Menjadi tanggungjawab kami untuk melindungi pengguna serta menghentikan kekerasan, penganiayaan, kepincangan yang dilakukan pegawai-pegawai dari institusi kewangan dan tindakan sivil pengutip hutang.”

Kini NGO 4PM mengalu-alukan wakil- wakil dari setiap negeri untuk menyertai mereka. Mereka yang berminat boleh menghantar maklumat diri kerana NGO 4PM memerlukan individu yang berintegriti tinggi.

Kata Zamshuri lagi,“Mereka yang pernah bekerja di sektor perbankan ataupun yang mempunyai pengalaman dalam bidang guaman dan masih berstatus sebagai peguam sangat-sangat dialu-alukan untuk menjadi wakil kami.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai NGO 4PM ini boleh menghubungi nombor 01136668133 atau 019 6555219. – BebasNews

Leave a Reply