MOHD SOLIHAN

BARISAN Nasional (BN) menggunakan alasan konon untuk memulihkan ekonomi dan memajukan Johor bagi menyingkirkan Perikatan Nasional (PN) selaku rakan politik dalam kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd Solihan Badri menegaskan, tindakan UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggunakan alasan tersebut adalah suatu yang remeh dan tidak masuk akal bagi sebuah parti berusia 76 tahun.

Beliau menegaskan, barisan Exco dari BERSATU sentiasa bekerja keras untuk membangunkan negeri sekali gus menyokong aspirasi bajet 2022 iaitu Memperhebat Kesejahteraan Johor, tetapi malangnya PN digambarkan menjadi punca kemerosotan ekonomi Johor.

Mohd Solihan membuat kenyataan malam tadi bagi menafikan mesej Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang tampil dengan slogan ‘Matlamat BN: Majoriti 2/3, Maju Negeri, Pulih Ekonomi’ pada kain rentang selepas sesi bergambar bersama barisan kepemimpinan tertinggi UMNO dan ketua-ketua Bahagian, kelmarin.

Mohd Solihan berkata: “Saya nak komen pasal (slogan) nak pulihkan ekonomi. Jangan kelirukan rakyat. Saya juga) Ahli Exco. Kita ada data. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan kerana penularan COVID-19) yang menyebabkan kita terjejas dari segi ekonomi, (dan) pelaburan.

(Akibatnya) ramai rakyat kita (Johor) tidak dapat bekerja di Singapura. (Warga) Singapura tidak dapat masuk ke Johor Bahru, sebab itu banyak kedai dan restoran ditutup.

Sejak dia (Hasni) pimpin pun berapa banyak pelaburan yang dia berjaya bawa masuk (ke Johor)? Jadi bukan satu alasan yang kukuh untuk pulihkan ekonomi (dengan membubarkan DUN Johor untuk memberi laluan PRN).”

Beliau menegaskan, exco dan wakil rakyat PN komited menyokong serta mendokong kerajaan negeri diterajui UMNO. Malah dalam banyak perkara kritikal, wakil pembangkang turut bersama kerajaan negeri termasuk menyokong kelulusan Bajet Johor 2022 walaupun berlaku defisit pada akaun negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri itu menambah, berikutan terkesan teruk akibat pandemik COVID-19, bajet negeri mahupun Persekutuan banyak diperuntukan untuk membantu rakyat, menyokong komuniti perniagaan serta melaksanakan pemulihan ekonomi.

“Kami akur, situasai ini mendorong proses pembangunan menjadi perlahan manakala pertumbuhan ekonomi terjejas. Tapi, janganlah gambarkan PN menjadi puncanya,” katanya.

BERSATU juga mengulangi kekesalan dengan sikap UMNO yang membelakangkan prinsip perkongsian kuasa dengan PN dalam kerajaan negeri, dalam soal keputusan membubarkan DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan.

“Sikap dan tindakan ini hanya menguntungkan sebelah pihak,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply