badge, medal, award
Photo by kinggodarts on Pixabay
Oleh Nor Hidayah Harun

ANUGERAH Perkhidmatan Cemerlang atau lebih sinonim dengan sebutan APC merupakan salah satu cara menghargai usaha seorang penjawat awam dalam melaksanakan tugasan tahunan. Tugas seorang penjawat awam adalah untuk berkhidmat kepada rakyat kerana gaji yang diperoleh setiap bulan adalah termasuk hasil daripada kutipan cukai daripada rakyat.

Justeru, amanah yang digalas oleh setiap penjawat awam adalah berat serta tidak boleh digalas dengan culas. APC diperkenalkan bagi memberi motivasi kepada penjawat awam untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat. Meskipun anugerah ini tidak diberikan kepada setiap penjawat awam pada setiap tahun, namun anugerah ini sebolehnya diperoleh setiap penjawat awam sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh perjawatan.

Namun begitu, penjawat awam yang sentiasa bermotivasi melaksanakan tugas dengan cemerlang pada setiap masa tidaklah boleh dinafikan haknya untuk menerima anugerah ini berulang kali sepanjang berkhidmat sekiranya penjawat awam tersebut benar-benar layak.

Persoalannya di sini, sejauh manakah ketelusan seorang ketua itu dalam menilai orang bawahannya untuk dicalonkan sebagai penerima anugerah? Terkadang ada ketua yang mengamalkan sikap pilih bulu atau pilih kasih semasa menilai orang bawahannya.

Ini adalah bertentangan dengan ajaran nilai-nilai murni dalam agama Islam yang menganjurkan umatnya untuk bersikap adil, telus dan amanah. Tiada orang yang suka untuk didiskriminasikan atau dipilih kasih.

Sekiranya orang bawahan itu telah melakukan kerjanya dengan cemerlang serta memperoleh markah laporan nilaian prestasi tahunan yang tinggi, wajarlah dirinya menerima APC.

Adalah wajar untuk setiap ketua bersikap profesional dan tidak mencampurkan hal peribadi seperti tidak seiring pendapat atau ada menyimpan perasaan tidak senang kepada orang bawahan. Seorang ketua perlu bersikap terbuka dalam menilai prestasi setiap anak buahnya tanpa prejudis.

Sekiranya orang bawahan merasakan dirinya lebih layak menerima APC tapi tidak dicalonkan, terdapat dua kemungkinan yang akan terjadi.

Pertama, seseorang itu akan lebih bersemangat untuk berusaha lebih baik agar dirinya dihargai oleh ketuanya pada tahun berikutnya atau seseorang itu merasa kurang bermotivasi untuk menjalankan kerja dengan lebih baik daripada sebelum ini.

Adalah lebih malang kepada organisasi sekiranya seseorang yang ditindas haknya untuk mendapat anugerah itu mendapat tawaran yang lebih baik oleh organisasi lain. Bukan sahaja organisasi itu kehilangan seorang pekerja yang berdedikasi, tetapi rakan-rakan sejabatan juga akan turut kehilangan seseorang yang boleh dijadikan sebagai contoh dan daya penarik untuk sama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.

Menjadi seorang ketua tidak mudah jika tiada sifat amanah. Menjadi ketua bermaksud datang bersamanya kuasa dan tidak amanah akan menyebabkan seorang ketua akan menyalahgunakan kuasanya. Menjadi seorang ketua itu, usahlah mencalonkan orang bawahan yang menyenangkan hati sendiri lantaran orang bawahan itu selalu menuruti perintah tanpa persoalkan.

Bukankah dengan adanya syura (perbincangan) itu meluaskan lagi idea dan pandangan? Seorang ketua yang baik adalah yang menilai hasil kerja setiap orang bawahan dengan teliti dan berintegriti, jauh sekali busuk hati. Tak mengapa jika ada yang tak suka hanya kerana kita menjadi seorang ketua atau orang bawahan yang jujur dan amanah, yang penting Allah reda.

Bukan dapat atau tidak anugerah itu dipersoalkan kerana itu semua sudah dalam jaminan Allah. Apa yang ingin disampaikan adalah seorang ketua sewajarnya mengutamakan ketelusan dalam penilaian untuk pencalonan menerima APC agar dapat mewujudkan suasana harmoni dalam sesebuah organisasi.

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.
BebasNews

Leave a Reply