Sebahagian peniaga ayam di Pasar Tani. Foto Fama

KUALA LUMPUR – Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyambut baik langkah kerajaan yang komited menyelesaikan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutama bagi ayam dan telur.

Presidennya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas menunjukkan keseriusan beliau menangani isu kenaikan harga barangan yang berlaku di peringkat global.

Katanya, pihaknya turut melahirkan komitmen dan usaha bagi memastikan aspirasi kerajaan untuk memastikan kawalan harga barangan dapat dicapai.

“Justeru rakyat dan peniaga akan dapat manfaat seiring dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, persatuan juga menzahirkan penghargaan di atas keputusan kerajaan yang membuka permit import ayam kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) dan pembukaan permit sama kepada pengusaha-pengusaha pasar raya besar.

Katanya, kerajaan juga menunjukkan tanda prihatin apabila menetapkan harga maksimum runcit ayam standard dikurangkan 20 sen menjadikan harga siling ayam kepada RM8.90 sekilogram.

“Bagi memastikan penternak-penternak ayam tempatan kekal berdaya saing, BRO mengharapkan kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama dapat dimuktamadkan segera,” katanya.

KENYATAAN RASMI BRO- ISU BEKALAN MAKANAN

BebasNews

Leave a Reply