ZURAIDIN ABDULLAH

ZURAIDIN Abdullah menjadi orang pertama yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan Jawatankuasa Tertingginya bagi penggal 2022-2025 pada 12 Februari ini.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) mengumumkan kesediaan dan komitmennya untuk mengisi kerusi No. 1 PSM yang kekosongan sejak 5 Jun lalu itu dalam satu kenyataan media kepada BebasNews, hari ini.

“Mengambil kira keadaan secara keseluruhan, usaha-usaha pemulihan PSM yang telah kami gerakkan bersama dan cabaran mendatang, saya dengan penuh rasa tanggungjawab ingin menyatakan kesediaan dan komitmen saya untuk menawarkan diri bertanding bagi mengisi jawatan Presiden PSM,” katanya.

Pencalonan bagi pemilihan berkenaan telah dibuka oleh sekretariat PSM sejak Ahad lalu dengan para calon perlu mengesahkan persetujuan sama ada untuk bertanding atau tidak, sebelum Ahad ini.

Gastak kata Zuraidin, turut bertekad sambil berganding bahu dengan ahli-ahli gabungan lain untuk terus membangunkan semula PSM dengan acuan dan hala tuju baharu selain secara telus dan berintegriti.

“Sebagai iktibar untuk semua, biarlah sejarah dan kemelut lalu yang pernah berlaku dalam PSM disemadikan dan marilah kita membuka lembaran baharu demi kebaikan serta sukan tradisi Malaysia ini.

“Saya amat berharap agar AGM PSM pada 12 Februari ini dapat dijalankan dengan penuh persefahaman dan semangat kekeluargaan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Chetok, Tanah Merah, Kelantan.

‘Kerusi panas’ PSM itu kekosongan ekoran peletakan jawatannya oleh Datuk Seri Ahmad Ismail yang digantung daripada sebarang aktiviti sepak takraw selama 17 tahun oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) mulai 5 Mei lalu atas salah lakunya berhubung Kongres pemilihan.

Malah sebelum penyingkiran PSM daripada Astaf yang berkaitan salah laku itu pada 20 Mei lalu, Gastak menjadi ahli gabungan pertama yang mengumumkan penarikan diri daripada PSM pada 9 Mei lalu lantas diikuti Johor (10 Mei), Selangor (11 Mei), Kedah (12 Mei), Terengganu (18 Mei), Putrajaya (19 Mei), Perak, Sarawak, Negeri Sembilan (21 Mei) dan Sabah (24 Mei) serta diakhiri Pahang, 11 Jun lalu.

Walau bagaimanapun kecuali Selangor, Sarawak dan Putrajaya selain Perlis yang dibatalkan keahlian PSM pada 16 Oktober 2018, lapan ahli gabungan itu termasuk Gastak telah bersetuju kembali ke pangkuan badan induk kebangsaan itu setelah dipujuk pucuk pimpinan yang dipangku Timbalan Presiden, Datuk Akramuddin Aziz.

AKRAMUDDIN AZIZ

Hasilnya, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Kuala Lumpur dilangsungkan pada 30 Oktober lalu untuk meminda fasal-fasal tertentu Perlembagaan PSM terutama yang berkaitan proses pemilihan Jawatankuasa Tertinggi.

Dalam pemilihan 2018-2021 di ibu kota, Ahmad menewaskan Markiman Kobiran yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor untuk terus menerajui PSM yang disandangnya sejak Disember 2002.

Beliau juga menewaskan Mohd. Shapian Ali dari Terengganu yang ketika itu juga Timbalan Presiden PSM pada pemilihan 2015-2018 di Johor Bahru, Johor.

SENARAI PRESIDEN LALU PSM

1960 – 1981: Tan Sri Mohamed Khir Johari (Allahyarham)
1981 – 1985: Tan Sri Ahmad Razali Mohd. Ali (Allahyarham)
1985 – 1993: Tan Sri Mohamed Khir Johari (Allahyarham)
1993 – 2002: Datuk Saidin Thamby (Allahyarham)
2002 – 2021: Datuk Seri Ahmad Ismail

PUCUK PIMPINAN PSM 2018-2021 (2022)

Presiden: -kekosongan- (dipangku Datuk Akramuddin Aziz)
Timbalan Presiden: Datuk Akramuddin Aziz
Naib Presiden: Datuk Abdul Halim Suleiman, Datuk Mohd. Sumali Reduan, Datuk Awang Sham Amit, Datuk Abdul Jalil Ariffin*
Setiausaha Agung: Datuk Abidullah Salleh*
Bendahari: Datuk Paruwadi Musa*
*Dilantik

BebasNews

Leave a Reply