Photo by Natalie Rhea on Unsplash

PETALING JAYA – Isu bekalan ayam dan telur yang tidak mencukupi di pasaran untuk memenuhi permintaan pengguna dapat diatasi dengan menggunakan pendekatan peraturan tangkas dalam pelaksanaan peraturan yang berkaitan dengan pembinaan reban ayam tertutup.

Kos yang tinggi dan syarat-syarat serta peraturan yang dikenakan untuk mengubahsuai daripada reban ayam terbuka kepada tertutup tidak mampu dipenuhi oleh penternak, terutamanya oleh syarikat penternak kecil dan sederhana yang mewakili hampir 80 peratus pengeluar ayam dan telur di Malaysia.

Ini diburukkan lagi dengan kawalan harga yang menyebabkan penternak terpaksa menjual hasil ternakan pada harga yang merugikan.

Pendekatan peraturan tangkas dan responsif dengan keperluan penternak untuk melaksanakan aktiviti penternakan dengan lancar dijangka mampu untuk memberi penyelesaian jangka panjang dalam mengatasi isu kekurangan ayam dan telur di pasaran, kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dalam satu kenyataan di sini.

MPC berkata, “Melalui Nexus Produktiviti Agro-Makanan (AFPN), MPC menerima pandangan daripada pemain industri mengenai kesukaran mereka dalam memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk membina reban ayam tertutup. Ini termasuk proses ubah suai kegunaan tanah dari pertanian kepada penternakan dan caj yang dikenakan. MPC sedang melaksanakan sesi libat urus dan rundingan dengan pemegang taruh yang berkaitan dan pihak industri dalam mencari penyelesaian yang memanfaatkan semua pihak sama ada Kerajaan, penternak, dan pengguna”.

“Kaedah reban ayam tertutup merupakan satu langkah yang baik yang perlu dilaksanakan oleh penternak. Ia mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran dengan kadar 20 peratus jika dibandingkan dengan penggunaan reban ayam terbuka. Justeru, urusan engubahsuaian perlu dipermudahkan untuk memastikan penternakan boleh dijalankan dengan lancar,” kata Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif bin Haji Abu Seman.

Pengerusi Nexus Produktiviti Agro-Makanan (AFPN), Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail berkata, “Isu kekurangan bekalan ayam dan telur di pasaran bukan lah satu perkara baharu dalam industri. Ia diburukkan lagi dengan banjir dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Namun begitu, ia bukanlah penyebab utama yang menyumbang kepada kekurangan bekalan ayam dan telur, yang seterusnya membawa kepada kenaikan dan kawalan harga. Kos penternakan yang tinggi contohnya makanan ternakan yang perlu diimport juga menyebabkan penternak lebih berhati-hati agar mereka tidak menanggung kerugian.”

“Sejak tahun 2020, AFPN telah berusaha memudahcara untuk mendapatkan kelonggaran peraturan dalam pengubahsuaian reban ayam tertutup. Penternak merasakan bahawa sekiranya syarat-syarat dapat dilonggarkan, mereka akan mampu meningkatkan pengeluaran. Ini bukan sahaja akan menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan, malah boleh menstabilkan harga ayam dan telur. Bukan itu sahaja, penternak juga akan mampu mengembangkan pengeluaran untuk eksport. Pada ketika ini, hanya segelintir kecil pengeluaran domestik dieksport keluar. Maklum balas daripada pemain industri menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 300 permohonan untuk pengubahsuaian kepada reban ayam tertutup, namun tidak semua mendapat kelulusan”.

“Kerajaan mempunyai peranan yang amat penting dalam memastikan peraturan berkaitan bersifat menyokong dan bukan mengekang perniagaan”, ujar Ar Ezumi. – BebasNews

 

siaran akhbar MPC

Leave a Reply