MYANMAR memiliki empat atau lima tonggak Piala AFF, Disember lalu dan berpengalaman Sukan SEA 2019 sedangkan skuad Bawah 23 Tahun negara hanya menampilkan ramai pemain yang baru kali pertama mahu menikmati aksi antarabangsa.

BRADLEY Maloney (kiri) mengendalikan sesi latihan skuad B23 Malaysia di Phnom Penh, Kemboja, menjelang menentang Myanmar. – Foto FAM

Ketua jurulatih B23 Malaysia, Bradley Maloney mengakui Myanmar dengan kelebihan besar itu akan tampil apabila kedua-dua pasukan membuka tirai saingan Kumpulan B Kejohanan B23 AFF 2022 di Stadium Prince, Phnom Penh, Kemboja, esok.

“Kami tidak semewah mereka. Secara jujurnya saya jangkakan, inilah perlawanan yang getir dengan lawan menjadi pilihannya dan Kumpulan B.

“Saya juga kenal Velizar Popov, ketua jurulatihnya yang berpengalaman lama dalam bola sepak Asia Tenggara,” kata warga Australia ini dalam temu bual dengan media Malaysia secara dalam talian, hari ini.

Satu lagi lawan skuad Maloney ialah Laos pada Jumaat ini juga di gelanggang sama setelah Indonesia terpaksa menarik diri gara-gara ramai pemainnya dijangkiti Covid-19.

Menurut Maloney, masih ada beberapa pilihan gandingan pemain yang menjalani ‘eksperimennya’ sekali gus beliau belum dapat menetapkan siapa kesebelasan utama Malaysia.

“Kami cuba buat uji kaji sedikit lagi dan tengok beberapa pilihan dan kombinasi semalam. Jujurnya kami masih mencuba lagi, hari ini dan kesebelasan utama melawan Myanmar, belum ada,” katanya.

MOHD. Aiman Afif Md. Afizul (tengah) kapten B23 Malaysia pada Kejohanan B23 AFF di Phnom Penh. – Foto FAM

Skuad B23 Malaysia turut ditimpa musibah apabila Shafi Azswad Sapari dan Fahmi Daniel Zaaim didapati positif Covid-19 setibanya di Phnom Penh dan terpaksa dikuarantin antara tujuh atau sembilan hari.

“Saya fikir secara realistik dan logistiknya, tidak dapat memanggil pemain lain sebagai pengganti mereka. Memang amat kecewa kerana bilangan mereka dalam pasukan berkurangan tetapi ini perlu kami harungi,” katanya.

Maloney mengesahkan, Mohd. Aiman Afif Md. Afizul yang juga pemain Kedah Darul Aman FC menjadi pilihannya untuk menyarung lilit kapten B23 negara pada kejohanan pemanas badan ke Sukan SEA Hanoi, Mei ini.

“Dia seorang pemimpin sejak hari pertama dipanggil ke kem latihan pusat. Dia sudah bersama saya sejak 2019 dan sentiasa menjadi sebahagian pasukan dan bermain dalam kejohanan,” katanya.

Aiman yang dikatakan mirip pelakon drama ‘Budak Tebing’, Aedy Ashraf ini berkata, “memang tanggungjawab besar menggalas tugas ini. Saya kena memotivasikan semua pemain dan sentiasa berhubung dengan mereka dan jurulatih.

“Setiap perlawanan ialah sesuatu yang kami kena beri 100 peratus dan tidak boleh ambil mudah siapa yang kami lawan serta kena sentiasa beri yang terbaik.

“Saya belum pernah bertemu dengan Myanmar tetapi menyedari kualiti yang mereka ada iaitu kelajuan. Kami kena bersedia dengan semua untuk bermain esok,” katanya yang serba boleh di posisi bek tengah dan penyerang selain perantara, peranan rutinnya.

– BebasNews

Leave a Reply