AZLAN Mubin, pemenang dua pingat perak Sukan Asia Doha 2006, menerajui Jawatankuasa Pertandingan PSM 2022-2025.

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengekalkan Datuk Abidullah Salleh sebagai Setiausaha Agungnya bagi penggal 2022-2025 – satu jawatan ‘nadi penting’ sesebuah badan induk pentadbir atau ibarat ‘feeder’ (pengumpan) regu.

Zuraidin Abdullah yang menarik diri daripada persaingan jawatan Presiden PSM pada pemilihan 12 Februari lalu, pula dilantik sebagai Naib Presiden menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (JKT) persatuan, semalam ekoran kuota Sarawak/Sabah telah dipenuhi.

ZURAIDIN Abdullah dilantik sebagai Naib Presiden PSM yang baharu.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) serta Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Chetok ini juga dilantik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kejurulatihan PSM.

Anehnya, mesyuarat yang diadakan secara dalam talian itu, turut menamakan bekas perejam negara, Mohd. Azlan Abd. Mubin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan persatuan.

Azlan kini dikenali sebagai pengulas dan pengacara sukan sebuah stesen TV selain pernah membantu Malaysia memenangi dua pingat perak Sukan Asia Doha 2006 dan pingat perak Sukan SEA Vietnam 2003.

Beliau dan Zuraidin merupakan muka baharu dari luar PSM yang mendapat kepercayaan JKT yang kali pertama bersidang sejak pemilihan di ibu kota yang berlangsung tanpa sebarang pertandingan keenam-enam jawatan kanannya.

MOHD. SUMALI REDUAN

Kenyataan media PSM hari ini melaporkan, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden baharunya, Datuk Mohd. Sumali Reduan membuat pelantikan mereka sejajar dengan Fasal 15 Perlembagaan PSM selepas mendapat persetujuan JKT.

“Penolong Setiausaha PSM ialah Yusoff Ali dan Mohd. Jaffrey Mohd. Zainol,” kata Sumali dalam siaran berkenaan, sambil menambah bahawa belum ada pelantikan yang dibuat bagi mengisi jawatan Bendahari.

JKT pada mesyuarat itu katanya, turut bersetuju melantik Timbalan Presiden PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan masing-masing sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Pembangunan Atlet.

Ketiga-tiga Naib Presiden PSM yang dipilih iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, Datuk Awang Sham Amit dan Datuk Abu Jimi Samat masing-masing dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus; Tatatertib dan Disiplin dan Hal-ehwal Korporat.

“PSM juga sebulat suara bersetuju menerima Jabatan Penjara Malaysia sebagai ahli bersekutu baharu persatuan. Kemasukannya menjadika, kesemuanya 15 ahli gabungan dan bersekutu yang bernaung di bawah PSM,” kata Sumali.

Tiga ahli bersekutu PSM sedia ada ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mengenai hubungan PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), kata Sumali, “persatuan akan membuat permohonan rasmi bagi menyertai semula persekutuan itu sebagai ahli gabungan yang sah.

“Kami juga akan meneruskan inisiatif perbincangan dan langkah pendamaian dengan Astaf setelah mengambil kira pengiktirafan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap PSM sebagai badan induk kebangsaan yang sah bagi sukan sepak takraw,” katanya.

Astaf menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungannya pada 20 Mei lalu gara-gara salah laku Presiden persatuan terdahulu yang berkaitan Kongres pemilihan pucuk pimpinan persekutuan, 1 Mac lalu. – BebasNews

Leave a Reply