Farahdhiya tidak perlu gimik untuk popularkan single baharu.

AGAK lama juga penyanyi Farahdhiya tidak menghasilkan lagu kerana sibuk di set penggambaran drama mahupun filem. Penyayi yang mencipta nama dengan lagu Bertakhta Di Hati pada 2004 itu cukup sinonim dengan lagu-lagu berentak balada.

Namun sejak menyertai program Gegar Vaganza musim kedua pada 2015, Farahdhiya Mohd. Amin, 38, berjaya membuka mata ramai pihak bahawa dia mampu mendendangkan lagu dalam pelbagai genre.

Sebagai bukti, dia muncul dengan single Tewas, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Pown Hasril, Karim Karam, Otromen, Nass dan DL yang menampilkan sisi baharu Farahdhiya.

Lagu Tewas yang bergenre Electronic Dance Music (EDM) itu turut menampilkan rapper dari Korea Selatan iaitu Denis dengan menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Korea.

Dennis, penyanyi rap dari Korea berkolaborasi dengan Farahdhiya dalam lagu Tewas.

Percaya akan kualiti lagu tersebut, Farahdhiya tidak mahu menggunakan pendekatan gimik keterlaluan seperti dilakukan segelintir penyanyi.

“Untuk lagu ini tiada sebarang gimik sebab saya seorang yang simple dan straight forward. Jadi nak keluar lagu kita buat cara biasa sahaja. Pada saya jika itu lagu yang bagus, penyanyinya bagus atau produknya baik kalau buat dengan cara yang biasa pun tiada masalah.

“Kadang-kadang kita tengok sendiri orang buat gimik sampai ada yang memalukan diri dan nampak bodoh sehingga dikecam. Saya tak sanggup semata-mata nak buat gimik sebegitu dan saya tidak perlukan itu. Bila nak keluar lagu, kita keluarkan lagu sahaja,” katanya.

Menurut Farahdhiya, dia yakin dengan lagu Tewas dan hanya memerlukan publisiti dan promosi yang bagus untuk popular.

“Saya sangat yakin dengan lagu ini. Setiap kali saya keluarkan lagu baharu tak kisah ia meletup ataupun tidak saya selalu ada keyakinan. Sebab bila kita dengar kita tahu lagu itu sedap. Cumanya sesebuah lagi itu jika tidak meletup tidak semestinya ia tidak sedap dan bagus.

“Mungkin ia berpunca dari segi publisiti dan promosi. Seperti saya cakap, saya sangat yakin dengan lagu ini dan ia adalah lagu yang bagus. Saya harap dapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Tewas itu, Farahdhiya berkata, pertama kali mendengar lagu itu dia terus jatuh cinta dan bersetuju untuk merakamkannya.

“Diakui orang mengenali saya dengan lagu balada, jadi ini perkara baharu daripada saya dan saya sangat seronok. Kita pun mengikut peredaran zaman kerana lagu sebegini sekarang tengah ‘in’.

“Pertama kali dapat lagu ini saya terus setuju sebab saya sukakan melodinya yang ‘catchy’. Pada saya lagu sebegini cita rasa orang sekarang. Ini memang satu jenama baharu daripada saya dan saya sangat teruja. Ditambah pula lagu ini menggunakan tiga bahasa. Saya fikir ini peluang untuk menjayakan lagu ini,” katanya.

Menurut Farahdhiya, muzik EDM bukanlah asing dalam hidupnya kerana pernah mempersembahkan lagu dari genre itu ketika zaman sekolah.

“Muzik sebegini sebenarnya tidak asing bagi saya kerana pernah mempersembahkannya ketika zaman sekolah dan juga untuk Gigs. Saya pernah menyanyikan lagu sebegini yang bergenre hip hop dan ada elemen EDM.

“Cuma orang tidak tahu berkenaan itu. Jadi saya teruja dengan genre yang saya buat ini ditambah pula bersama penyanyi rap baharu dari Korea Selatan, Denis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farahdhiya berkongsi jadual kerjaya seninya padat selepas aktiviti seni kembali dibenarkan beroperasi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak dibenarkan bekerja semula pada Oktober tahun lalu, Alhamdulillah jadual saya sangat padat sampai sekarang. Nyanyian dan lakonan seiring. Saya sibuk menjayakan persembahan korporat dan makan malam. Tawaran berlakon pun tak berhenti.

“Memang agak sibuk sebenarnya sejak mula dibenarkan bekerja semula dan fokus sekarang dengan lagu terbaharu ini. Ada juga beberapa drama yang akan keluar seperti Roti Cicah Susu di saluran Astro Ria. Ada juga drama dengan penstriman Viu. Kerjaya saya berjalan dengan lancar Alhamdulillah,” katanya. – BebasNews.

Leave a Reply