JIKA Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dua tahun lepas dijadikan sandaran bagi menentukan parti mana yang bakal mendominasi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor sudah pasti calon-calon Barisan Nasional (BN) boleh tidur lena.

Mengimbas berita sensasi pada 16 November 2019, Calon BN, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti lebih 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Namun ketika itu senarionya amat berbeza yang mana semangat ahli-ahli parti komponen BN begitu membara untuk menjatuhkan calon parti pemerintah Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini yang hanya meraih 10,380 undi.

Namun segalanya telah berubah, Jeck Seng dari MCA kini adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi di bawah Kerajaan Persekutuan.

BN pula adalah kerajaan negeri Johor sebelum PRN Johor bakal diadakan 12 Mac depan.

Semasa PRK Parlimen Tanjung Piai juga, semangat kerjasama UMNO sebagai tonggak BN dengan PAS yang tercetus semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 dilihat sedang berkobar-kobar.

Namun kini BN dan PAS membawa haluan masing-masing pada PRN Johor.

Sementara itu, beberapa isu panas melibatkan pemimpin parti bertanding mewarnai PRN Johor.

Kisah Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan pernah berjumpa dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta pertolongan bagi melepaskan diri daripada kes mahkamah
menghangatkan suasana.

Melalui perkongsian di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dakwaan Muhyiddin kononnya beliau membawa timbunan fail membabitkan pendakwaannya di mahkamah, sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri adalah fitnah semata-mata.

Konflik dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak turut mencuri perhatian.

Ia dapat dilihat apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sekali lagi menghantar surat kedua kepada pengundi Johor yang mana menyentuh soal Najib.

Dalam surat tersebut, Tun Mahathir memberi amaran sekiranya Najib kembali berkuasa, negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat daripada kluster mahkamah.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mengembalikan kekuatan politik kerana percaya apabila memegang kuasa politik beliau dapat lepas daripada hukuman.

Walau apa pun mood kempen PRN bulan depan, kehadiran parti Muda dilihat mampu menggugat parti-parti ‘otai’.

Soal sama ada aura PRK Tanjung Piai masih kuat atau tidak untuk memenangkan BN boleh juga gabungan parti UMNO, MCA dan MIC meminjam aura BN Melaka. Siapa tahu boleh menang besar? – BebasNews

Leave a Reply