E. Elavarasan (kiri) disahkan membantu Kim Pan-gon dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya. - Foto FAM

TEKA-TEKI siapa penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang diketuai Kim Pan-gon, terjawab dengan pengumuman E. Elavarasan sebagai penyandangnya, hari ini.

Bekas ketua jurulatih pasukan Liga Super 2022, Sarawak United FC itu dianggap Pan-gon sebagai menepati kriteria utama yang dikehendaki seperti berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain pasukan-pasukan Liga Super dan Perdana.

ELAVARASAN (kiri) dan B. Sathianathan, Pengarah Teknikal Sarawak United FC. – Foto SUFC

Pan-gon, 53, warga Korea Selatan berkata, “selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya juga telah menemu duganya.

“Saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.

“Saya melihat beliau seorang jurulatih yang jujur, tekun dan sedia memberikan kerjasama penuh dalam membantu kami barisan kejurulatihan baharu membawa Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” kata Pan-gon dalam siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Elavarasan yang lahir pada 5 Januari 1962 membimbing Sarawak United FC sejak Februari 2020 dengan kejayaan muncul naib juara Liga Perdana 2021 sekali gus dinaikkan ke dalam Liga Super 2022.

ELAVARASAN (tengah) memberikan arahan kepada pemain-pemain Sarawak United FC. – Foto SUFC

Anak jati Selangor berusia 60 tahun ini yang tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM sebelum ini, menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan.

“Saya melihat tugas ini sebagai satu cabaran dan peluang untuk menyumbang pada peringkat kebangsaan. Saya gembira kerana diberi peluang terbabit dalam projek Pan-gon.

“Saya berharap kami anggota kejurulatihan pasukan kebangsaan yang diketuai Pan-gon dapat membentuk keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama antarabangsa, tidak lama lagi (terutama pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Malaysia pada 8, 11 dan 14 Jun 2022),” katanya.

Dalam sidang media pertama pada 17 Februari lalu, Pan-gon yang juga bekas ketua jurulatih Hong Kong, memperkenalkan barisan penolongnya yang terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Jun-ho (jurulatih penjaga gol, Korea Selatan), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan, Turki) dan Lim Jae-hun (juruanalisis prestasi, Korea Selatan).

Harimau Malaya dijadualkan memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan-gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa, menentang Filipina pada 23 Mac dan Singapura, 26 Mac di Singapura.

BIODATA E. ELAVARASAN
Nama Penuh: Elavarasan Elangowan
Umur: 60 tahun
Tarikh lahir: 5 Januari 1962
Tempat lahir: Selangor
Kelayakan kejurulatihan: Lesen Pro AFC (2018)
Karier Kejurulatihan:
2020-2022: Sarawak United FC
2019: PDRM
2018: Melaka United
2015-2017: PKNS FC
2013: Terengganu
2009-2012: Felda United FC
2006: Melaka
2001-2005: Public Bank
1999: Pasukan Piala Bardhan Selangor
1994-2000: Public Bank FC (Liga Dunhill Selangor)
Kejayaan:
1997, 1998 & 2000: Juara Liga Dunhill Selangor (Public Bank FC)
1999: Juara Piala Bardhan (Selangor)
2003: Juara Liga Perdana 2 dan naik Liga Super 2004 (Public Bank)
2004: Naib juara Liga Super (Public Bank)
2006: Naib juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2007 (Melaka)
2010: Juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2011 (Felda United FC)
2016: Naib juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2017 (PKNS FC)
2016: Naib juara Piala FA (PKNS FC)
2019: Tempat ketiga Liga Perdana dan naik Liga Super 2020 (PDRM)
2021: Naib juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2022 (Sarawak United FC)

– BebasNews

Leave a Reply