Maslan (kiri) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk memberi RM5,500 bagi membantu membebaskan tunangnya dari sebuah pusat pemulihan dadah.

Walau bagaimanapun, Maslan Atan, 59, yang bertugas di AADK Kota Tinggi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada jam 11.10 malam 12 Oktober 2018 di mesin juruwang automatik (ATM) Maybank, Petron, Pasir Gudang East (F1) Lot 110911, KM 29 Lebuhraya Pasir Gudang, di Johor Bahru.

Dia didakwa menipu seorang lelaki, Muhammad Azam Mat Hassan, 28, untuk menghantar wang bernilai RM500 menerusi akaun Maybank bernombor 151098348528 miliknya.

Ia bertujuan membantu mengeluarkan seorang wanita, Izzairen Sasli, 25, daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan.

Bagi pertuduhan kedua, suspek didakwa pada jam 10 pagi 18 Disember 2018 di Kafe Bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di Johor Bahru menipu Muhammad Azam untuk menghantar wang tunai RM5,000 bagi tujuan sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, suspek didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ikhwan Ihsan Jalaluddin, manakala terduduh diwakili peguam bela, Mohd. Salleh Tugimin.

Ahmad Kamal membenarkan suspek diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu Ikhwan mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM20,000.

Mohd. Salleh memohon jaminan dikurangkan berikutan Maslan masih menyara isteri dan seorang anak berusia 21 tahun serta memiliki komplikasi kesihatan termasuk darah tinggi.

Ahmad menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen. – BebasNews

Leave a Reply