Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menemuinya meminta supaya siasatan kes rasuah yang dihadapinya dihentikan.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri, lapor Berita Harian.

“Ahmad Zahid datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya.

“Pada masa itu, ada kemungkinan saya menjadi Perdana Menteri, atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Aspirasi Johor, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau mengetahui mengenai masalah jenayah yang dilakukan Ahmad Zahid, selain menyedari kemungkinan pemimpin UMNO berdepan hukuman penjara.

Katanya, selepas Ahmad Zahid bersama dengan parti yang membentuk kerajaan, beliau ada mendengar cubaan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu untuk tindakan mahkamah terhadapnya dihapuskan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan bila sebenarnya tarikh dan lokasi pertemuan berkenaan.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak berhasrat membuat sumpah laknat berhubung dakwaan Ahmad Zahid Hamidi, meminta bantuannya dalam kes mahkamah dihadapinya ketika ini. – BebasNews

Leave a Reply