EMPAT hari menjelang Pilihan Raya Negeri Johor, sepucuk surat pembaca (Alex Chung-Alor Gajah) yang dihantar kepada BebasNews menyatakan Barisan Nasional (BN) bakal muncul sebagai pemenang.

Semalam, telahan pembaca tersebut ternyata benar .

Menurut pembaca, pesaing atau pembangkang BN sebenarnya yang memberikan kemenangan kepada parti biru itu.

Kenapa tidak, buat pertama kalinya di Johor, 10 parti politik dan gabungan bersama-sama banyak calon bebas bertanding merebut tempat dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 56 kerusi.

Secara keseluruhan terdapat 239 calon pilihan raya yang bermakna margin kemenangan akan sangat tipis dalam kalangan pesaing.

Penulis menyatakan meskipun terdapat dua pesaing utama ialah BN dan Pakatan Harapan, banyak parti politik lain memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan PRN kali ini.

Beliau menyifatkan BN sepatutnya berterima kasih kepada parti seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Muda, Warisan dan lain-lain kerana secara tidak langsung mereka membantu secara strategik dalam memecahkan undi pembangkang.

Keadaan yang berlaku hampir sama seperti di Melaka apabila Perikatan Nasional menyebabkan perpecahan undi.

Sementara itu, jumlah peratusan keluar mengundi juga rendah.

Pada dua PRN sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan peratusan keluar mengundi di Melaka dan Sabah juga rendah, masing-masing ialah 65.85 peratus serta 60.67 peratus.

Pada dasarnya walaupun BN mungkin tidak popular dalam kalangan majoriti pengundi, selain peratusan keluar mengundi yang rendah, parti politik tertua itu juga mempunyai peluang yang baik untuk menang kerana kehadiran parti-parti kecil ini.

Ini kerana semakin ramai calon di setiap DUN, semakin besar kelebihan BN dalam mendapatkan mandatnya. Pada PRU14 sebelum ini, BN kehilangan negeri itu selepas hanya berjaya memperoleh 18 kerusi.

BN mungkin mempunyai bank undi yang setia, undi Pembangkang akan dibahagikan dengan parti-parti baharu yang telah ditubuhkan sejak Pilihan Raya Umum 2018.

Malah, tiada satu perlawanan langsung di Johor dan sebahagian besar daripada 35 pertandingan empat penjuru adalah majoriti Melayu dan beberapa kerusi separuh bandar, di mana BN yakin ia boleh menang.

BN sebenarnya belum benar-benar mendapat semula keyakinan pengundi, sebaliknya sebalik menang kerana kegagalan parti-parti kecil yang baharu muncul untuk bersatu membentu satu kesatuan. – BebasNews

Leave a Reply