Oleh Ghulam Sarver Mobarak Ali

MENGAPAKAH Malaysia gagal mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran daging lembu?

Pelbagai tindakan seperti penyelidikan dan kajian lapangan pengeluaran daging dilakukan sejak beberapa dekad lalu namun tidak membuahkan hasil.

Pada tahun 2020 Malaysia hanya mampu mengeluarkan 23 peratus keperluan daging negara. Jabatan Perangkaan mencatatkan negara pada tahun itu terpaksa mengimport daging dengan nilai RM2.2 bilion.

Antara usaha terkini oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ialah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara (2021-2025).

Selain itu, Lembaga Ruminan Negara diwujudkan untuk memastikan industri ruminan berdaya saing, mampu memenuhi permintaan daging, susu dan produk berasaskan susu.

Sehubungan itu, pembangunan 67 ladang setelit di Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek Pertanian Moden sebagai pemangkin kepada pengusaha ladang-ladang ruminan akan dilaksanakan.

Melalui pelbagai pelan ini, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan akan dapat ditingkat untuk mencapai sasaran 50 peratus daging dan 100 peratus SSL susu segar menjelang tahun 2025.

Persoalannya, setelah hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan dan pelbagai dasar sekuriti makanan diperkenalkan, apakah dengan dasar baru ini tiba-tiba Malaysia akan muncul cemerlang dalam penghasilan daging dan susu lembu dalam masa lima tahun?

Dasar dan pelan seumpama itu bukanlah baharu tetapi diumumkan secara berulang-ulang sejak 1984 sehingga kini dengan menggunakan istilah-istilah terkini tetapi hasilnya masih tidak memberangsangkan.

Contohnya, semasa Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020), Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kertas strategi bertajuk “Ke arah modenkan agro-makanan” menyebut antara usaha memastikan makanan haiwan berkualiti mencukupi ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan agensi kerajaan (GLC) memperoleh sumber seperti palm kernel expeller dan palm kernel cake untuk kegunaan industri ruminan.

Selain itu JPV akan mewartakan 22,000 hektar sebagai kawasan ragut dan penghasilan tanaman rumput serta lain-lain tanaman untuk mengurangkan kos mengimport bahan makanan.

Mardi akan memberikan tumpuan terhadap formulasi dan membangunkan pelet berasaskan tanaman seperti rumput napier, brachiria decumbens, kenaf dan jagung. Mardi juga akan membangunkan sistem pemakanan ruminan secara terperinci dan kaedah mengurangkan kos pengeluaran.

JPV akan turut menjalankan latihan kepada penternak supaya mereka mahir dalam pengurusan makanan ruminan sebagai persediaan menghadapi harga bahan makanan yang meningkat.

Sekadar bertanya: sejauh manakah inisiatif-inisiatif UPE telah dilaksanakan dengan jayanya atau hanya tinggal catatan dan harapan?

Perlu diingat sejak tahun 1970-an lagi ladang-ladang besar komersial untuk membangunkan penghasilan baka, fidlot dan susu telah ditubuhkan seperti FIMA Feedlot di Johor Bharu, ladang daging dan tenusu Majuternak di beberapa negeri, Pahangbif, Darabif, Makmur dan First Dairy Farm serta Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC). Namun, syarikat-syarikat berkenaan mengalami pelbagai masalah dan dihentikan operasi.

Beberapa langkah segera perlu dilakukan oleh MAFI untuk memajukan sektor ternakan ruminan sekali gus meningkatkan keuntungan industri dan golongan penternak kecil di seluruh negara. Antaranya:

Pertama, pejabat-pejabat daerah JPV di seluruh negara dinaik taraf dengan diketuai oleh pegawai Gred 48 atau 52. Hanya pegawai yang dikenal pasti dan terbukti cemerlang dan berprestasi tinggi dipilih. Pegawai-pegawai ini mestilah kreatif dan berinovatif serta mempunyai kemahiran komunikasi dan penulisan untuk menyediakan laporan dengan cepat dan tepat.

Di daerahlah pelaksanan dasar dan pelan yang dirangka teruji sama ada berhasil atau perlu penambahbaikan dilakukan.

Dicadangkan MAFI mengadaptasi kaedah latihan pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pegawai yang dipertimbangkan untuk dilantik sebagai pengetua dan guru besar sekolah telah melalui Program Kelayakan Profesional Kepimpin Pendidikan Kebangsaan (National Professional Qualification for Educational Leaders – NPQEL).

Pemimpin yang terlatih dan menunjukkan ciri-ciri kepimpinan terpuji berorientasikan hasil akan membawa kejayaan dasar yang digubal. Kepimpinan berimpak tinggi diperlukan oleh JPV di daerah yang berfokus kepada hasil berkualiti, penyelesaian masalah, membuat keputusan, mengurus perubahan dan pengurusan ICT.

Kedua, Kebanyakan inisiatif kerajaan dalam industri ruminan berasaskan orientasi program bukan orientasi keberhasilan. Bantuan pinjaman dan geran tidak akan membantu penternak untuk jangka masa panjang. Yang diperlukan ialah bantuan kepakaran teknikal sebab menternak lembu bukanlah usaha yang mudah. Banyak cabaran yang terpaksa dihadapi memastikan ternakan sihat daripada pelbagai penyakit dan makanan ternakan berkualiti diperoleh dengan harga berpatutan.

Ketiga, surat dan aduan permasalahan serta pandangan penternak hendaklah diterima secara positif oleh MAFI dan JPV. Sikap defensif mempertahankan pegawai tanpa memberikan penyelesaian masalah secara munasabah tidak akan membawa kemajuan. Selain itu, maklum balas perlu diberikan dalam jangka masa seperti yang digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam terkini.

Keempat, JPV perlu memastikan sumber makanan tempatan berkualiti ditanam dan mudah diperoleh oleh penternak daripada bergantung kepada makanan import yang semakin mahal. Rundingan hendaklah dibuat dengan para pekilang kelapa sawit supaya penternak memperoleh makanan lembu dalam bentuk pelet.

Kelima, kerajaan-kerajaan negeri digesa memperluas kawasan kekal pertanian agar dapat ditanam jagung, rumput berkualiti dan lain-lain tanaman yang sesuai untuk keperluan makanan lembu.

Keenam, memastikan semua pegawai JPV didedahkan secara terperinci Laporan Audit Dalam dan Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun supaya kelemahan dan kecuaian kepimpinan, pengurusan dan pelaksanaan projek tidak berulang.

Ketujuh, MAFI hendaklah mengurangkan kerenah birokrasi terutama membabitkan isu pemberian insentif, subsidi, perolehan, khidmat nasihat serta tempoh menunggu yang dikesan mengganggu usaha penternakan lembu seperti yang ditegaskan oleh menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semasa menyampaikan Amanat Tahun 2022: “… Saya menyeru agar warga MAFI tidak terkongkong dalam silo masing-masing yang boleh mengundang kerenah birokrasi yang menyukarkan rakyat dan pihak industri.”

Dengan keluasan negara 330,000 kilometer persegi, Malaysia sebenarnya tidak sukar memenuhi SSL daging dan susu sekiranya semua pihak yang terlibat dalam pembangunan industri ternakan lembu bekerjasama memainkan peranan masing-masing secara jujur, ikhlas, kreatif dan berinovatif.

*GHULAM SARVER MOBARAK ALI ialah peladang.

– BebasNews

Leave a Reply