JDT FC (biru) berpesta gol dalam pusingan pertama Piala FA 2022 dengan membelasah BRM FC 10-0. - Foto JDT

LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) disaran agar memikirkan pusingan kelayakan tertentu untuk menyaring pasukan-pasukan Liga M3 sebelum dipertaruhkan pada Piala FA, kejohanan kalah singkir kebangsaan.

Dua perlawanan play-off Piala FA yang bertujuan menyaring empat pasukan Liga M3 iaitu Bukit Tambun FC-Imigresen FC dan BRM FC-Tun Razak City FC, didapati tidak mencukupi sebagai bekalan mereka berdepan lawan-lawan daripada Liga Super dan Perdana.

Liga M3 yang tidak dipertandingkan dua musim berturut-turut pada 2020 dan 2021 akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, jelas memberikan impak kekalahan teruk kelab-kelabnya sepanjang pusingan pertama Piala FA 2022 dari 11 hingga 13 Mac lalu.

Empat perlawanan Piala FA menyaksikan perlawanan berat sebelah itu dengan juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim yang membelasah Budak Rumah Murah (BRM) FC 10-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri merupakan pesta gol yang terbesar.

Lain-lain termasuk juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC yang membenam Langkawi City FC 8-0, naib juara Liga Perdana 2021, Sarawak United FC meratah Ultimate FC 7-0 dan Selangor FC yang membelasah Harini FT 6-0.

Tidak ketinggalan pasukan pelapis remaja, Projek FAM-MSN yang berpengalaman Liga Perdana sejak 2021 yang menumpaskan Tok Janggut Warriors 5-1, sebuah lagi pasukan Liga M3 dari Kelantan.

AB. Ghani Hassan, Presiden MFL.

“Untuk mengadakan lebih banyak perlawanan kelayakan, MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) masih terikat dengan jadual musim Liga Malaysia yang padat.

“Kami perlu habiskan Liga Super dan Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia sehingga penghujung November ini.

“Mungkin pada peringkat pengelola Liga M3, AFL boleh memikirkannya,” kata Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan kepada BebasNews.

Tahun ini peluang kepada pasukan-pasukan M3 untuk bersaing dalam Piala FA katanya, masih cuba diberikan MFL.

“Kami berikan mereka slot Piala FA itu walaupun faham bahawa ketiadaan pertandingan M3 selama dua musim berturut-turut, sudah tentu merencatkan persaingan mereka dengan pasukan-pasukan Liga Super dan Perdana.

“Mungkin tahun hadapan, MFL boleh sarankan kelayakan ke Piala FA hanya boleh berdasarkan merit mengikut kedudukan pasukan-pasukan dalam Liga M3,” katanya yang juga bekas pemain Negeri Sembilan.

— BebasNews

Leave a Reply