HANYA Afifuddin Razali (6), Aidil Aiman Azwawi (19) dan Zarif Merican Ibrahim Merican (32) yang dikekalkan daripada skuad 2019 ke Sukan SEA Hanoi.

TIADA tekong Panjang, tiada Sobey! Tiada juga si pelibas Azlan Alias mahupun kapten, Farhan Adam dalam Sukan SEA Hanoi 2022!

Panjang dan Sobey atau nama sebenarnya, Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak bersama-sama Azlan dan Farhan merupakan tonggak pemenang pingat emas antara regu Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Skuad 12 pemain Malaysia ke Sukan SEA Ke-31, Hanoi dari 12 hingga 23 Mei ini sebaliknya menampilkan kebanyakan muka baharu muda dan hanya mengekalkan tiga senior pemenang pingat perak temasya 2019 di Filipina.

Senarai lengkap mereka yang diperoleh BebasNews, menyaksikan tonggak senior berkenaan ialah tekong Pulau Pinang – Zarif Merican Ibrahim Merican, perejam Angkatan Tentera – Afifuddin Razali dan pengumpan Kelantan – Aidil Aiman Azwawi.

TEKONG kidal Selangor, Zuhri Zain mempunyai ketinggian dan servis yang mampu menyengat di Hanoi.

Cukup pelik apabila hanya Afifuddin dan Norfaizzul, pengumpan Tentera yang menjuarai Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL), bulan ini yang terpilih ke Sukan SEA Hanoi.

Selain Farhan dan Azlan, turut tiada ialah tekong Sukan SEA 2019, Hairul Hazizi Haidzir juga pemain Tentera dan dua pemain Kuala Lumpur, Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi dan Amirul Zazwan Amir.

Perejam Johor, Noraizat Nordin atau digelar ‘Ijat Bangau’ pula tidak beraksi di Subic, Filipina tiga tahun lalu namun pernah menganggotai naib juara regu berpasukan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Malaysia hanya akan bersaing dalam tiga acara iaitu regu berpasukan, antara regu dan beregu namun mengorbankan kuadran (berempat) di Hanoi.

Ini sejajar dengan peraturan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) iaitu setiap negara kecuali tuan rumah, hanya boleh bermain tiga daripada empat acara yang dipertandingkan di Dewan Sukan Daerah Hoang Mai, Hanoi.

SYAHIR buat kali kedua berturut-turut sejak 2019 tidak tersenarai ke Sukan SEA.

Dalam Sukan SEA Filipina 2019, skuad negara dihampakan musuh tradisi, Thailand 3-0 dan 2-0 dalam liga sepusingan regu berpasukan dan antara regu untuk sekadar pulang dengan dua pingat perak.

Kali terakhir Malaysia menikmati pingat emas Sukan SEA ialah di Kuala Lumpur 2017 dalam acara antara regu namun hanya selepas menewaskan Filipina, Brunei dan Laos tanpa penyertaan Thailand mahupun Indonesia dan Myanmar.

Antara muka baharu yang dianggap mampu menyengat di Hanoi ialah dua tekong lampai Selangor, Haziq Hairul Nizam dan Zuhri Zain yang mempunyai ketinggian lebih 1.8 meter sekali gus memberikan kelebihan servis mereka.

Skuad 12 pemain wanita negara pula menampilkan tiga senior ke Hanoi termasuk tekong berpengalaman luas sejak 2007, Siti Nor Zubaidah Che Ab. Wahab selain perejam, Nurul Izzatul Hikmah Zulkifli dan Kamisah Khamis.

Skuad wanita memenangi pingat gangsa antara regu Sukan SEA 2019 manakala pencapaian terbaik mereka ialah perak di Kuala Lumpur 2017.

SKUAD SEPAK TAKRAW MALAYSIA SUKAN SEA HANOI 2022
Lelaki
Tekong: Faisal Fuad , Zarif Merican Ibrahim Merican (Pulau Pinang), Haziq Hairul Nizam, Zuhri Zain (Selangor).
Apit kanan/perejam: Afifuddin Razali (Angkatan Tentera), Noraizat Nordin (Johor), Eqbal Shamsudin (Kelantan), Redwan Hakim Muhammad (Kuala Lumpur).
Apit kiri/pengumpan: Aidil Aiman Azwawi (Kelantan), Norfaizzul Abd. Razak (Angkatan Tentera), Zulhusni Basri (Pulau Pinang), Asyraaf Hadi (Perak).
Wanita:
Siti Nor Zubaidah Che Ab. Wahab, Siti Nor Suhaidah Jafri, Nur Fatihah Azizul, Nur Natasha Amira Fazil, Nor Azira Suhaimi, Razman Anam, Nadillatul Rosmahani Saidin, Nurul Izzatul Hikmah Md. Zulkifli, Kamisah Khamis, Nur Fateha Rossli, Nur Asmida Rambli, Siti Farisha Ismi Hissan.

— BebasNews

Leave a Reply