KUALA LUMPUR [KEMAS KINI] — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan laporan BebasNews apabila sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung nilai projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif di negara ini.

Menurut sumber, kesemua mereka termasuk seorang wanita dipercayai ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya merupakan 4 pemilik syarikat dan masing-masing seorang  penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi.

Perintah reman antara tiga hingga enam hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 34 hingga 58 tahun di Mahkamah Majistret, Putrajaya, hari ini.

Sumber berkata, dua suspek lelaki yang direman selama enam hari itu dipercayai telah meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek sebagai balasan  bagi membantu syarikat milik mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara tahun 2018 hingga 2020.

BebasNews hari ini memetik sumber melaporkan ‘orang kuat’ Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii),  Datuk Madani Sahari  dan beberapa pegawai lain bakal ditahan reman selepas  SPRM melakukan sebuah ke atas institut itu semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM,  Dato’ Tan Kang Sai yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

— BebasNews

Leave a Reply