Ada 1,000 lot pameran yang boleh dikunjungi oleh orang ramai.

KUALA LUMPUR — Penganjuran Hari Usahawan Negara (HUN) 2022, yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), muncul sebagai pusat sehenti buat usahawan tempatan.

Acara mega selama lima hari anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) yang pertama kali diadakan di Malaysia itu berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 1,000 lot pameran disediakan buat usahawan tempatan dan antarabangsa mempamerkan produk masing-masing.

Abu Hasan Mohd. Nor harap HUN 2022 dapat merancakkan semula ekonomi usahawan yang terjejas sebelum ini.

Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor berkata, HUN 2022 yang bertemakan ‘Usahawan Pemangkin Negara’ mempunyai matlamat yang besar.

Selain merancakkan kembali ekonomi para usahawan yang terjejas dengan pandemik Covid-19, acara berkenaan juga diadakan untuk membantu peniaga dan bakal peniaga menerusi perkongsian informasi dalam pelbagai program yang dianjurkan termasuk lot pameran daripada pelbagai agensi kerajaan.

“Tujuan HUN 2022 dianjurkan adalah untuk mengukuh dan mengembangkan segala teras sokongan keusahawanan yang telah dan akan disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai agensinya,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya lagi, HUN 2022 juga bermatlamat untuk meningkatkan ekonomi usahawan di Malaysia ke peringkat global dan menciptakan kesedaran masyarakat dalam memilih bidang keusahawanan.

“HUN 2022 telah menyediakan pusat info keusahawanan melalui taklimat pelbagai agensi termasuk FAMA, MARA, Agrobazaar Online dan Akademi Jana Usahawan.

“Tidak ketinggalan diadakan taklimat mengenai kerjaya, klinik keusahawanan (latihan dan mentor), simposium ekonomi dan keusahawanan, biz forum (peluang pembiayaan bersama Tekun Nasional) dan pocket talk (wawancara ikon usahawan secara langsung).

“Rugi jika usahawan dan mereka yang berminat dalam perniagaan tidak hadir ke HUN 2022. Semua informasi berkaitan perniagaan ada di sini,” ujarnya.

Selain itu, pelbagai aktiviti disediakan untuk memeriahkan lagi HUN 2022 antaranya persembahan artis popular, car free morning dan jokathon 1,000 peserta di Dataran Merdeka.

Tidak ketinggalan, acara game show bersama orang ramai dan artis oppocot Malaysia, persembahan 100 battle of the band, pertunjukan kereta dan motosikal klasik, kereta-kereta mewah, malam aneka ragam pop yeh yeh, retro klasik, warisan HUN, santai-santai teh tarik (pertunjukan dan tarian) dan hot balloon.

Acara kemuncak HUN 2022 adalah malam gala dinner yang diadakan pada 28 Mac ini, bersempena majlis anugerah untuk golongan usahawan.

Sepanjang acara berlangsung pelbagai aktiviti diadakan.

“Pelbagai peringkat Anugerah Keusahawanan Kebangsaan akan diberikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sebagai sebahagian daripada sambutan ini.

“Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada usahawan dan pembina ekosistem keusahawanan atas dan ketekunan usaha cemerlang mereka menyumbang ke arah merancakkan kembali sektor ekonomi negara,” ujarnya.

HUN 2022 bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini (26 Mac) di WTCKL.

Maklumat lanjut boleh layari www.hariusahawannegara.com.my.

— BebasNews

Leave a Reply