Woman in black long sleeves shirt wearing hijab sitting on floor
Photo by Alena Darmel on Pexels Gambar hiasan

BUDAYA bertadarus dari sudut sejarah Islam telah tumbuh dalam kalangan masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Tradisi ini dipelopori oleh baginda Rasulullah SAW sendiri dan diwarisi oleh umat Islam sejak zaman berzaman.

Budaya ini tetap subur walaupun dunia dilanda pandemik covid-19 yang masih belum reda dan telah bertukar menjadi endemik di Malaysia pada tanggal 1 April 2022.

Kamus-kamus utama Bahasa Arab seperti Mu`jam al-Lughah al-`Arabiyah Al-Mu`asirah, Al-Ra`id, dan Al-Mu`jam al-Basit telah memberikan maksud kepada kalimah tadarus yang merupakan kata terbitan kepada kata kerja tadarasa, yatadarasu, tadarusan sebagai istiqomah membaca supaya tidak lupa.

Penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW telah disampaikan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW secara bertadarus: Jibril membawa wahyu daripada Allah SWT dan membacakannya kepada Rasulullah SAW.

Baginda mendengar kemudian mengikut bacaan tersebut. Jibril AS mengesahkan ketepatan bacaan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami yang menjaganya.(Al-Hijr: 9)

Kemudian Rasulullah SAW menyampaikan wahyu kepada para sahabat melalui kaedah yang sama: tadarus. Para sahabat membaca dan menghafaz ayat-ayat al-Quran di hadapan Rasulullah SAW bagi memastikan ia tidak berubah atau tertinggal walaupun satu huruf. Firman Allah SWT yang bermaksud: apabila Kami membacakannya (al-Quran) maka ikuti bacaannya (al-Quran). (al-Qiyamah:18)

Sehubungan dengan ini, permulaan aktiviti tadarus telah dicatatkan dalam lembaran sirah Nabawiyyah yang kita boleh jejaki melalui penelitian hadis-hadis dan antaranya hadis riwayat imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari pada kitab permulaan wahyu hadis no 5 yang bermaksud: Musa bin Ismail telah menyampaikan kepada kami katanya Abu `Awanah telah menyampaikan kepada kami katanya Musa bin Abi Aisyah telah menyampaikan kepada kami katanya Said bin Jabir telah menyampaikan kepada kami daripada Abdullah Ibn Abbas berkenaan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: janganlah engkau (Muhammad) menggerak-gerakkan lidahmu dengannya (ayat Quran) kerana hendak segera (gopoh) membacanya (ketika Jibril membacakan al-Quran kepada Nabi SAW.

Kata Ibn Abbas: adapun Rasulullah SAW mengalami kesukaran turunnya wahyu kepada baginda, dan yang demikian itu adalah di antara sebab Baginda menggerak-gerakkan kedua-dua belah bibirnya. Kata Ibn Abbas lagi: maka sayapun menggerak-gerakkan kedua-dua belah bibir untuk kamu sebagaimana Rasulullah SAW menggerak-gerakkannya.

Dan berkata pula Said; akupun mengerak-gerakkan kedua belah bibir seperti yang aku lihat Ibn Abbas menggerak-gerakkan kedua bibirnya, lalu dia menggerak-gerakkan kedua belah bibirnya, sebab itu diturunkan firmanNya yang bermaksud: janganlah kamu menggerakkan dengannya(ayat Quran) lidah kamu kerana hendak bersegera (gopoh) membacanya, sesungguhnya Kami (Allah) yang akan menghimpunkannya dan menetapkan bacaannya.

Katanya: Allah menghimpunkannya di dalam dada engkau (Muhammad) dan engkau akan membacanya, maka apabila kami bacakan dia hendaklah engkau turut bacaannya.

Katanya maka semak dan dengarlah kepadanya. Kemudian sesungguhnya kamilah yang akan menjamin engkau membacanya. Maka setelah itu rasulullah SAW jika didatangi oleh Jibril bagindapun mendengar sehingga apabila Jibril selesai baharulah Nabi membacanya sebagaimana yang dibacakan oleh Jibril.

Selain daripada Sahih Al-Bukhari, perawi-perawi lain turut mencatatkan aktiviti bertadarus dalam kalangan sahabat. Antara perawi dan kitab utama yang menyebut aktiviti tadarus ini adalah karya Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Imam Tirmizi dalam Jami` al-Tirmizi, Abi Daud dalam Sunan Abi Daud, Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, Imam al-Nasai`e dalam Sunan al-Nasai`e, Al-Darimi dalam sunan al-Darimi, Imam Malik dalam al-Muwatta`, Imam Ahmad bin Hanbal dalam Musnad Imam Ahmad bin Hanbal.

Adakah aktiviti bertadarus ini sekadar membaca supaya tidak lupa seperti mana pengertian kalimah tersebut dalam B.Arab sahaja? Jawapannya adalah; TIDAK. Imam Muslim telah mencatat kelebihan aktiviti bertadarus melalui hadis dalam kitab Sahih Muslimnya: nombor hadis [6853] 37 (2699) yang antara matannya bermaksud: … tidaklah sesuatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (masjid) membaca kitabullah (al-Quran) dan bertadarus dalam kalangan mereka, kecuali diturunkan ke atas mereka sakinah (ketenangan), dilitupi rahmat dan mereka dipayugi oleh Malaikat.

Tadarus pada hari ini adalah amalan membaca al-Quran bersama-sama dan ia telah menjadi sebahagian daripada budaya Islam di Malaysia dan popular di bulan Ramadhan.

Masyarakat Islam kini telah memanfaatkan teknologi dan kemudahan internet untuk aktiviti tadarus secara atas talian melalui platform Google Meet, Zoom, Teams, Webex dan sebagainya.

Kreativiti dan inovasi medium tadarus bersesuaian dengan kemajuan era IR4.0. Kemunculan covid-19 tidak menghalang aktiviti bertadarus dilakukan malah semakin memudahkan individu untuk menyertainya terutama warga emas dan suri rumah yang mempunyai anak-anak yang masih kecil dan agak terhad pergerakan mereka jika aktiviti tersebut dikendalikan secara fizikal di masjid.

Tadarus atas talian berjaya mengatasi kekangan tersebut. Terima kasih kepada Pencipta teknologi yang memberi ilham kepada manusia dalam inovasi dan kreativiti.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply