Shahriman (duduk kiri) mewakili UiTM dan William Cushley (duduk kanan) mewakili UoFG bergambar selepas majlis menandatangani MoU di Glasgow, Scotland.

SHAH ALAM -– Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan meningkatkan kompetensi global bersama University of Glasgow (UofG) di Glasgow, Scotland, UK hari ini.

Unit Korporat UiTM memaklumkan, kerjasama yang dijalin menitikberatkan aspek akademik dan ilmiah.

“Antaranya menghantar pelajar-pelajar UiTM berkelayakan untuk menyambung pelajaran dalam pengajian pascasiswazah, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, juga cadangan pelantikan profesor pelawat, pemeriksa luar dan penceramah.

“Kerjasama ini antara lainnya akan meningkatkan kompetensi global UiTM di peringkat antarabangsa yang mengarah kepada matlamat untuk mencapai agenda dalam pelan strategik UiTM2025,”katanya dalam satu kenyataan.

Pertukaran MoU telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan,
Prof. Dr. Shahriman Zainal Abidin yang mewakili Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Ts. Roziah Mohd.Janor, Naib dan Assistant Vice-Principal of International UoFG, Prof. William Cushley, dengan disaksikan oleh Dekan FSR, Prof.Dr. Mohad Anizu Mohd. Nor, dan wakil UoFG, Prof. Jason Gill.

Jelas Unit Korporat UiTM lagi, FSR yang pernah menerima anugerah Gold Campus Award dari American College of Sport terus mengorak langkah dengan jalinan kerjasama MoU yang akan dilaksanakan selama tiga tahun ini dari tahun 2022 sehingga 2025.

Katanya lagi, UofG merupakan sebuah universiti di Scotland, UK yang wujud sejak tahun 1451 dengan mencatat prestasi hebat seperti berada di tempat ke-73 dunia dalam penarafan QS World University Rankings 2022.

“UiTM komited menerokai pelbagai ruang dan peluang kerjasama untuk kekal berdaya saing agar lebih cemerlang di peringkat antarabangsa,”katanya. — BebasNews

Leave a Reply