Analisis Abdul Hafiz Ahmad
MAHKAMAH Tinggi di Johor Bahru semalam sudah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap kerani wanita, Sam Ke Ting kerana memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak pada 18 Februari 2017.
Sudah jelas keputusan ini perlu dihormati apatah lagi demi keadilan kepada keluarga mangsa-mangsa yang ketika itu berusia 13 hingga 17 tahun dalam kejadian pukul 3.20 pagi di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.
Ada pihak pula yang cuba membangkitkan sentimen perkauman dalam mempertikaikan keputusan itu.
Malah ada yang sanggup membuka petisyen dalam talian untuk mengutip undian umum dalam mendesak tertuduh yang telah disabitkan bersalah, dibebaskan kembali seperti keputusan Mahkamah Majistret, Johor Bahru pada 28 Oktober 2019.
Tindakan ini tidak wajar sama sekali!
Juga dikhuatiri pihak yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi itu bakal berdepan dengan pertuduhan menghina mahkamah pula.
Jika ada yang tidak berpuas hati pun, masih ada saluran sah undang-undang yang perlu kita ikuti.
Mungkin mereka boleh mengemukakan rayuan kepada pihak perundangan pada peringkat yang lebih tinggi, Mahkamah Rayuan atau Persekutuan misalnya.
Serahkan sahaja kepada pihak yang lebih arif, sahih, diperakui dan berwibawa.
Kita juga bimbang nanti ada pihak lain yang terikut-ikut dengan sentimen seumpama itu, cuba merujuk dan membangkitkan kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kasim yang dipukul sehingga mati oleh sekumpulan perusuh di sebuah kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor pada 27 November 2018.
Parti-parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menjuarai isu-isu seumpama ini, hentikanlah. Turut tenteramkanlah penyokong-penyokong anda.
Pupuklah diri dengan rasa tanggungjawab dan kepatuhan kepada undang-undang, sayangilah negara ini, jagalah Keluarga Malaysia!
— BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.