MOHAMAD Suim (kiri) bersama Zahari Hamid, anak pencipta sepak takraw, Hamid Mydin. - Foto infotakraw.com

BEKAS jurulatih skuad sepak takraw wanita negara, Mohamad Suim meninggal dunia kira-kira pukul 9.45 malam tadi akibat sakit tua.

Beliau pernah membimbing skuad wanita Malaysia ketika Sukan SEA Jakarta 1997 dalam acara antara regu yang ditewaskan Indonesia dan Vietnam 2-0 pada peringkat kumpulan.

Temasya inilah menyaksikan penampilan sulung acara sepak takraw kategori wanita, diikuti Sukan Asia Bangkok 1998.

MOHAMAD Suim (berdiri, empat dari kiri) bersama-sama skuad sepak takraw wanita Malaysia dalam persediaan ke Sukan SEA Jakarta 1997. – Foto ihsan Mazreel Mohamad

Anaknya, Mazreel berkata, “Allahyarham meninggal dunia secara mengejut pada usia 75 tahun. Pihak Kementerian Kesihatan sahkan kerana sakit tua tetapi bebas daripada Covid-19.

“Allahyarham sebelum ini memang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung,” katanya kepada BebasNews, hari ini.

Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang balu, Saadiah Samad, 63 dan tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan yang berusia daripada 36 hingga 43 tahun.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, tidak jauh dari kediamannya di Seksyen 18, kata Mazreel.

MOHAMAD Suim (berdiri, dua dari kiri) sebagai jurulatih skuad juara Sukses 2005. – Foto ihsan Mazreel Mohamad

Mohamad dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 4 April 1947.

“Semasa kecil-kecil dulu, selalu juga saya mengikuti bapa dalam kegiatan sepak takrawnya.

“Dia bersara awal daripada PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) untuk beri tumpuan kepada karier kejurulatihan sepak takraw.

“Khidmatnya paling lama dengan MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) selain pernah menjadi jurulatih Polis Diraja Malaysia Selangor dan Bomba Shah Alam.

“Sebagai pemain, dia di posisi apit kiri atau pengumpan dan pernah mewakili Melaka dan Jabatan Penjara,” katanya.

Bekas apit kiri negara, Suhaimi Yusof berkata, Mohamad menurut rakan rapatnya juga pernah mewakili pasukan Seni Budaya Kampung Paya dan Kampung Baru.

MOHAMAD Suim (kanan) sebagai pemain pasukan PKNS di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1974. – Foto ihsan Mazreel Mohamad

“Adik-beradiknya juga aktif sepak takraw seperti Ali, Osman dan Rahmat,” kata pengumpan skuad pemenang dua pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991 ini.

Antara pemain dalam skuad wanita Sukan SEA 1997 itu bimbingan Mohamad ialah Saadiah Idrus, Mas Ayu Dahlal dan Noraini Pon serta Normala Rashid. — BebasNews

Leave a Reply