KERAJAAN Persekutuan bersetuju menaikkan amaun pemberian khas baharu kepada Sabah sebanyak 4.7 kali ganda iaitu daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Amaun berkenaan jelasnya, akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama, di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, hari ini.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada negeri itu susulan beberapa perbincangan dan rundingan Kementerian Kewangan dan kerajaannya dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Februari lalu.

“Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat ialah pada 1969,” kata Ismail dalam kenyataan media bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, hari ini.

Jelas kenyataan tersebut, persetujuan kajian semula baharu ini turut merangkumi perkara-perkara berikut:

“Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah akan terus berunding berhubung tuntutan 40% daripada hasil negeri itu dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada Sabah mulai 2022.

“Persetujuan ini tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan kerajaan negeri itu berhubung kos perkhidmatan negeri.”

Kerajaan Sabah juga menurut kenyataan itu, berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu untuk merujuk perkara berkenaan kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, lapor kenyataan itu.

“Perkara (d), kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan kerajaan negeri itu berhubung kos perkhidmatan negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut.

“Persetujuan yang berjaya dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada kerajaan negeri itu serta keprihatinan mereka terhadap peranan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri berkenaan.

“Penghargaan kami kepada delegasi Kerajaan Persekutuan yang diketuai Menteri Kewangan dan delegasi kerajaan negeri Sabah yang diterajui Menteri Kewangan II Sabah dalam pencapaian bersejarah ini,” tambah kenyataan berkenaan.

Kenyataan media — 220414-KENYATAAN-MEDIA-BERSAMA-PEMBERIAN-KHAS-NEGERI-SABAH

— BebasNews

Leave a Reply