Selepas tiga tahun, kini M.Nasir kembali menjayakan Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Dato M.Nasir pada 27 Mei ini.

SALAH satu lagu raya malar segar yang pasti ditunggu ramai bila Ramadan tiba adalah lagu Satu Hari Di Hari Raya, dendangan Datuk M.Nasir.

Bila lagu tersebut berkumandang di corong radio, perasaan suka dan duka dapat dirasai terutamanya oleh anak rantau. Cuba bayangkan kalau lagu itu didengari secara langsung disampaikan oleh sang penyanyi, pasti peminat teruja.

Untuk memastikan anda berpeluang mendengar M.Nasir mendendangkan lagu tersebut secara langsung dan lagu-lagu hitnya yang lain, jangan ketinggalan untuk hadikrn diri di Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Dato M.Nasir, pada 27 Mei 2022, 8 malam, di Dewan Merdekat, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL).

Rupa-rupanya bukan saja peminat teruja untuk menonton persembahan M.Nasir, malah penyanyi tersebut juga teruja untuk menghibur para penyokongnya.

“Selepas penganjuran konsert solo saya pada 2019, saya akui amat rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat. Justeru apabila ditawarkan untuk menjayakan konsert ini, saya terus menerimanya kerana saya tahu peminat memang sudah lama menantikan saat ini.

“Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu,” kata sosok kelahiran Singapura ini.

Tambah penyanyi berusia 64 tahun itu lagi, pada konsert berdurasi 90 minit itu, dia bakal mendendangkan 20 buah lagu popularnya.

“Untuk konsert selama satu setengah jam itu, persembahan saya bakal diiringi oleh sembilan orang pemuzik termasuk penyangi latar. Bersesuaian dengan konsep, saya juga akan menyampaikan lagu bertemakan Hari Raya termasuk lagu yang pernah hit sebelum ini.

“Dari segi persiapan, saya akan mula menjalani latihan tidak lama lagi. Lagipun kebanyakan lagu yang dipilih adalah lagu yang memang kerap saya nyanyikan dalam mana-mana persembahan, jadi saya tak berdepan dengan masalah untuk menyanyikannya.

“Walaupun konsert ini berlangsung di dalam dewan tertutup dan bukannya di pentas terbuka namun saya akan pastikan peminat bukan sahaja terhibur tetapi dapat bersama-sama menyanyi dan menari bersama saya.

“Saya akan bawa atmosfera dan aura konsert yang penah saya jayakan di pentas terbuka ke dalam konsert itu,” janji M.Nasir.

Mengulas inisiatif penganjur menganjurkan konsert di dewan tertutup walaupun mengetahui kapasiti penonton tidaklah seramai seperti penganjuran di stadium, pelantun Mentera Semerah Padi ini memuji dan menyokong penuh usaha yang dijalankan mereka itu.

“Apa yang mereka lakukan itu sangat bagus dan saya puji insiatif serta keprihatinan mereka itu. Dalam situasi hari ini, kita memerlukan penganjur yang berani untuk menganjurkan konsert.

“Tak kisahlah dengan cara apa sekali pun kerana dengan usaha mereka itu, secara tidak langsung dapat merancakkan atau mengerakkan kembali industri muzik yang sebelum ini agak malap susulan pandemik Covid-19,” katanya.

Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Dato M.Nasir ini dianjurkan oleh Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn. Bhd., dan Luncai Emas Sdn. Bhd.

Sementara itu, mengulas pembabitan IRAMA, presidennya, Ayob Abd. Majid memaklumkan konsert itu juga adalah persembahan amal yang bertujuan untuk membantu IRAMA menyantuni golongan penggiat seni yang kurang bernasib baik.

“Sepanjang IRAMA beroperasi, kami memang tidak mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak atau kerajaan dalam menjalankan aktiviti kebajikan kami.

“Justeru saya amat berterima kasih kepada seluruh warga kerja dan juga M.Nasir yang sudi untuk menjayakan konsert ini selepas mendapat tahu persembahan ini juga berkonsepkan amal.

“Sebahagian daripada hasil jualan tiket nanti kami bagi pihak IRAMA akan mengagih-agihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik,” jelas Ayob.

Dia turut memberi jaminan konsert itu nanti bukan sahaja dapat menhiburkan peminat penyanyi yang mendapat julukan Sifu itu tetapi juga turut memberi kepuasan maksimum kepada mereka.

“Selagi pilihan lagu yang menarik dan menepati cita rasa peminat, konsert itu turut sempurna dari aspek teknikal apabila kami menggunakan khidmat penata cahaya dan sistem bunyi yang bagus dan berkualiti sama seperti yang kita lihat dan dengar di konsert yang dibuat di stadium,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan figura hebat kesayangan mereka ini beraksi, harga tiket adalah seperti berikut: VVIP: RM15,000 per meja untuk lapan orang (termasuk sesi meet and greet), VIP: RM9,800 per meja untuk lapan orang, PLATINUM RM7,800 per meja untuk lapan orang, GOLD: RM5,800 per meja untuk lapan orang serta SILVER: RM3,800 per meja untuk lapan orang.

Maklumat pembelian tiket boleh didapati dengan menghubungi Ayob Abd Majid (019 3682548), Sham Amir Hussain (011 55026994), Salimey (016 6720370). — BebasNews

Leave a Reply