UMMI KALTHUM Shuib (berdiri lima dari kiri) menunjukkan tanda bagus bersama sukarelawan TLFP di Kuala Lumpur. - Foto ihsan SWCorp
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA — Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan berhasrat menyelamatkan lebihan makanan yang elok di sekitar ibu negara.

Sehubungan itu, agensi berkenaan mahu menjalinkan kerjasama strategik dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang dikenali sebagai The Lost Food Project (TLFP).

“Pihak SWCorp berminat mengadakan kerjasama tersebut melalui pemeteraian memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini, agensi tersebut buat julung kali turut serta terlibat dalam aktiviti pengasingan dan menyelamatkan lebihan makanan yang elok untuk diagihkan kepada rakan kongsi NGO amal.

Ia dianjurkan di bawah seliaan TLFP yang turut aktif mengatur pelbagai program sumbangan makanan kepada kelompok berpendapatan B40 di flat Projek Perumahan Rakyat di ibu kota.

UMMI KALTHUM Shuib (kanan) bergotong-royong mengasingkan lebihan makanan diterima TLFP di Kuala Lumpur. – Foto ihsan SWCorp

Badan bukan keuntungan yang berpusat di Jalan Wisma Putra itu ditubuhkan dua tahun lalu dan turut bekerjasama dengan 78 NGO di seluruh negara bagi penyaluran bantuan makanan.

Sepanjang tahun lepas, TLFP mampu mengumpul 2,800 tan makanan elok yang nyaris dibuang ke tong sampah sebelum diagihkan meliputi lebih 4.1 juta kilogram bungkusan makanan.

“Ia hasil kesan daripada kesedaran masyarakat khasnya penderma lebihan tersebut kepada NGO ini dan SWCorp amat menyokong usaha murni projek TLFP,” tambah kenyataan itu lagi.

Organisasi berkenaan yang menerima sumbangan derma masyarakat juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun ujarnya, dengan bilangan tenaga kerja yang terhad, bantuan sukarelawan adalah amat diperlukan bagi mempercepatkan proses pengasingan produk lebihan tersebut.

Turut hadir membantu ialah Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib dengan para petugas agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Menurut perangkaan SWCorp, dianggarkan 4,005 tan makanan elok dibuang setiap hari di seluruh negara yang mampu memberi kepada 2.97 juta orang miskin makan tiga kali sehari. — BebasNews

Leave a Reply