SAYA secara peribadi melihat Ismail Sabri Yaakob seperti “dipersendakan” oleh ketuanya, Zahid Hamidi ekoran keputusan MT malam kelmarin.

Melihat senario itu, saya mahu ketawa besar pun ada. Mahu menjerit pun ada. Mahu melompat pun ada.

Adakah Ismail sedar apa yang bakal beliau hadapi?

Dalam hatinya, di pejabat puncak kuasa beliau sekarang, Ismail dilihat mahu supaya “pilihan raya umum ke-15 diadakan tahun depan”. Ikut hatinya beliau mahu menduduki kerusi PM sehingga ke tahun 2023.

Rakyat melihat tiada keperluanpun diadakan pilihan raya tahun ini. Apa keperluannya? Adakah UMNO terlalu yakin ia akan menyapu bersih undi daripada rakyat?

Atau ada agenda lain yang lebih besar yang diimpikan oleh pucuk pimpinan UMNO? Rakyat ketika ini mahu supaya kes perbicaraan Zahid dan Najib diselesaikan terlebih dahulu.

Kedua-dua kes itu patut dimuktamatkan selewat-lewatnya tahun ini juga. Sama ada mereka bebas atau bersalah, sistem kehakiman wajib dihormati. Tiada tolak ansur, tiada perlu ada percaturan politik — oleh sesiapa pun termasukkan oleh UMNO sendiri.

Harus diingat, kerajaan yang diterajui oleh Ismail masih lagi sebuah kerajaan campuran. Ia dibentuk hasil persetujuan parti-parti pembangkang yang lain. Jika pakatan MoU itu mahu diperbaharui, tiada alasan Ismail untuk menolaknya. Itu adalah perjanjian membabitkan antara seorang Perdana Menteri dengan pakatan terbabit; dan bukannya antara Presiden UMNO dengan pakatan tersebut.

Sebagaimana yang saya katakan, jangan ada niat lain apabila percaturan oleh UMNO itu mahu dijalankan. Kita tidak mahu melihat percaturan itu lebih bersifat peribadi atau untuk menyelamatkan tengkuk seseorang, berbanding soal kepentingan UMNO sendiri.

Rata-rata kawan saya baik dalam media atau mantan menteri UMNO pun melihat begitu. Takkan mereka rabun politik. Sekilas ikan di air, kita sudah tahu jantan betinanya. Kita tahu niat sebenarnya, atau sekurang-kurang dapat merasakannya.

Ingatlah. Kuasa masih ditangan Perdana Menteri. Ismail sebenarnya mempunyai segala-segala kekuatan untuk memperbaiki apa yang berlaku ini — waima mengangkat dirinya dalam parti dan negara. Gunakanlah.

Kita juga tahu mengapa pemilihan UMNO mahu ditangguhkan, selepas desakan supaya PRU15 diadakan dalam suku ketiga tahun ini juga — atau serta-merta. Mengapa kalut sangat?

Adakah mereka yakin akan menang besar?

Sebaliknya, semua pihak juga yakin, jika pemilihan parti diadakan sekarang — atau serta-merta, Ismail kemungkinan besar akan menjadi Presiden atas “kekuatannya” sebagai Perdana Menteri. Dan beliaulah yang akan menentukan hala-tuju parti itu dalam pilihan raya umum akan datang, dan bukannya Zahid.

Itu bukan saya kata, itu semua orang yang kata. Jadi, apa yang berlaku dengan keputusan MT semalam dibaca secara “sungguh jenaka”.

Saya tidak pasti sama ada Ismail sedar atau tidak. Kita pun bukan kenal dengan team-team politik beliau. Adakah mereka juga sedar? Marilah kita lihat sama ada Ismail akan menggunakan kekuatannya di atas puncak kuasanya sekarang dengan bijaksana.

Kita harap beliau tidak dibuai dengan mimpi seronok hasil keputusan MT itu.

Yang pasti Ismail masih ada sedikit ruang lagi untuk check mate “depa-depa itu” dan berkuasa secara total. Kita tunggu…

— BebasNews

Leave a Reply